26 pelajar program biasiswa Hengyi, IBTE berlepas ke Lanzhou



Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 Ogos. – Seramai 26 pelajar berlepas ke Republik Rakyat China bagi meneruskan pengajian mereka di Lanzhou Petrochemical University of Vocational Technology (Lanzhou) sebagai sebahagian daripada pengajian di bawah Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries Sdn Bhd (Hengyi Industries) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

 

Para pelajar sepatutnya memulakan pengajian mereka di Lanzhou pada akhir tahun lalu, namun ia terpaksa ditangguhkan berikutan cabaran pandemik COVID-19.

 

Namun begitu, para pelajar tetap meneruskan pembelajaran mereka dengan mengikuti kelas secara dalam talian, bagi memastikan usaha akademik mereka kekal tanpa gangguan.

 

Teruja dengan peluang baharu yang akan datang, Shaiful Amiruddin bin Rasid, salah seorang penerima biasiswa IBTE berkongsi, “Saya percaya bahawa belajar di luar negara adalah peluang besar untuk saya merasai pengalaman dan budaya baharu. Ia juga pastinya satu peluang besar bagi kami untuk mengasah kemahiran khusus kerjaya kami, dengan menggunakan kemudahan yang mereka ada di Lanzhou".

 

Seorang lagi penerima biasiswa, Dayang Siti Nadhirah binti Haji Norman, mengongsikan pandangannya yang mana beliau berasa teruja dan pada masa yang sama juga mencabar disebabkan berjauhan daripada ibu bapa, namun ia adalah peluang besar untuk berdikari dan meningkatkan kemahiran komunikasi sosial.

 

Program Biasiswa Bersama Hengyi Industries dan IBTE menawarkan penerima diploma tiga tahun dalam Operator Penapisan (Refinery Operator), di mana mereka akan menjalani pengajian akademik satu tahun di IBTE Kampus Jefri Bolkiah, diikuti dengan satu tahun pengajian di luar negara di Lanzhou.

 

Pada tahun akhir, mereka akan menjalani latihan sambil bekerja dengan Hengyi Industries di Pulau Muara Besar. Setelah tamat pengajian program itu nanti, para pelajar dijangka akan menyertai Hengyi Industries dan memulakan kerjaya mereka dalam industri petrokimia.


Close