Kongsi pengalaman usahawan berjaya





Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto : Ak. Mohammad Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 5 Ogos. - Nilai teras dalam kebanyakan niaga masa kini antaranya ialah melaksanakan perbuatan yang baik serta bermanfaat sambil menjalankan perniagaan yang hebat dan sebagai contoh ialah keuntungan syarikat disalurkan bagi membangunkan sekolah dan hospital di kawasan luar bandar.

 

Meskipun ia organisasi bukan keuntungan yang menjaga kebajikan warga emas dalam komuniti mereka, namun impak keusahawanan sosial semakin meningkat di peringkat global dengan beberapa syarikat seperti Wardah Beauty di Indonesia yang pada mulanya merupakan perniagaan yang diterajui wanita yang membangunkan produk kecantikan halal, semula jadi, bebas alkohol yang sesuai untuk masyarakat Islam.

 

Kesedaran tentang kekuatan, trajektori pertumbuhan dan tahap kebaikan manusia yang dicapai oleh sosial perniagaan masih terhad di negara ini.

 

Justeru itu, acara yang dikendalikan hari ini 'The Inaugural GMWx Continuum Spark Award Launch and Social Impact Business Workshop' merupakan salah satu daripada sembilan acara profesional global yang dilancarkan pada Ogos 2023 bertujuan untuk mempamerkan beberapa usahawan yang berjaya dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Australia.

 

Berkenan berangkat menyerikan majlis yang berlangsung di Sparks Hub di sini ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah binti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah selaku Penaung Diraja Zahara Charity Foundation.

 

Majlis anjuran muBn Learing and Growth Company (LGC) berkenaan disertai oleh Pengasas muBn LGC, Dr. Dayang Hajah Mona Yati binti

Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Kassim, yang juga sebagai Duta GMWx Brunei.

 

Dalam ucapannya, Dr. Dayang Hajah Mona Yati menyatakan bahawa acara berkenaan adalah bertepatan pada masanya dan juga sangat diperlukan kerana beliau percaya para usahawan dari negara ini boleh menjadi mampan serta beralih kepada tindakan dalam perniagaan dengan syarat mereka melengkapkan diri dengan pengetahuan, kemahiran yang betul dengan dorongan yang tertentu.

 

Seramai 42 peserta menyertai bengkel berkenaan dengan para peserta diberikan pengetahuan tentang Rangkaian Kerja Muslim Global (GMW) dan seterusnya melancarkan Anugerah Spark Continuum dengan bertujuan untuk mencari kewangan menjadi realiti, idea terbaik untuk menyelesaikan masalah kemanusiaan.

 

Para peserta digalakkan untuk mengongsikan idea hebat mereka bagi pertandingan yang memberi mereka peluang untuk mengutarakan idea mereka di GMW Doha dan berpeluang memenangi hadiah wang tunai bagi memulakan perniagaan sosial mereka.

 

Pada majlis berkenaan, para peserta berkesempatan mendengarkan mengenai pengalaman dan perkongsian kejayaan para usahawan dan pemimpin perniagaan dalam bidang yang mereka ceburi bermula dari bawah sehingga berjaya.

Sesi pertama menampilkan para usahawan terdiri daripada Co-Founder and CEO of ILMA Pte. Ltd., Dayang Norjannah binti Haji Mahmud; Founder of Soth Life, Dr. Iznan bin Haji Tarip; dan pemilik Kunyit 7 Lodge, Pengiran Kemariah binti Pengiran Haji Duraman yang juga merupakan pemenang Anugerah AirBnB.

 

Selain itu, pembentangan sesi kedua juga mengetengahkan para pembentang dari luar negara antaranya Founder of Brothers in Need, Australia, Mr. Dean Mousad; Founder of Muslim Solo Travel (Malaysia), Dayang Farihah Fuaad; Founder and Director of Hume Design Consultancy (Indonesia), Raisha Nurul Ibrahim; dan Dayang Nur Sharian Abdul Rashid yang merupakan seorang pakar dan konsultan di LaunchGood.

 

Bengkel berkenaan merupakan peluang kepada para peserta untuk berhubung dan berkongsi idea bersama mereka yang berpengalaman agar dapat membantu dalam membina perkembangan dan kemajuan profesional diri mereka.​



Close