Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman / Foto : Foto : Hamzah Mohidin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Mac. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata bahawa berdasarkan Akta Daging Halal Bab 5 (2) sebagaimana juga yang telah disebut dalam mesyuarat-mesyuarat yang lalu penyembelihan binatang-binatang bagi kegunaan orang ramai hendaklah mempunyai Sijil Penyembelihan dan sudut pelaksanaannya yang berjalan pada ketika ini, Sijil Penyembelihan hanya diberikan dan dikeluarkan kepada penyembelih di pusat-pusat penyembelihan.
Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menjelaskan perkara tersebut bagi menjawab pertanyaan yang diajukan sebelumnya oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Safiah binti Sheikh Haji Abd Salam pada pada hari ke-12 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-19 MMN bagi Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis berhubung dengan penternakan secara kecil-kecilan yang melibatkan penyembelihan.
Terang Yang Berhormat, Jabatan Hal Ehwal Syariah (JHES) yang menerajui bahagian urusan pemakanan halal ini, sedang giat membuat penelitian mengenai pemberian Sijil Penyembelihan ini untuk dilaratkan pemberiannya kepada orang ramai dengan mengambil kira peraturan agensi-agensi berkaitan.
Ini, jelas Yang Berhormat termasuklah kesejahteraan, peraturan-peraturan dari segi pusat-pusat tersebut diiktiraf, bukan saja halalnya diiktiraf dari segi kesesuaiannya, kesihatannya dan sebagainya.
Dalam hubungan ini, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyatakan supaya perkara tersebut diambil serius dalam erti kata bukan untuk menghalang tetapi untuk menuju cara-cara yang bukan menyalahi peraturan-peraturan yang ada.
“Jadi eloklah perkara ini diambil tindakan lanjut bersama umpamanya pengusaha- pengusaha kecil yang berniat untuk diiktiraf sebagai penyembelih persendirian yang kecil, menemui Kementerian Hal Ehwal Ugama untuk berunding.
“Jadi, akan diketahui berapa jumlah mereka yang terlibat dan perkiraan-perkiraan serta beberapa alternatif yang boleh dilakukan," ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama lagi.