Perbaharui Sijil Halal 3 bulan sebelum tarikh mansuh





Oleh : Abu Bakar Haji Abdul Rahman / Foto : Hamzah Mohidin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman



BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Mac. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata beberapa inisiatif telah dijalankan bagi menangani isu perlanggaran mempamerkan Sijil Halal yang mansuh termasuk pesanan SMS dan juga surat yang dikeluarkan Jabatan Majlis Ugama Islam Brunei apabila mereka menerima Sijil Halal untuk memperbaharui Sijil Halal dalam tempoh tiga bulan sebelum tarikh mansuh.


Selain itu, pemantauan secara konsisten juga dilaksanakan melalui rondaan, aduan dan bersepadu bagi memastikan syarikat-syarikat pemantau undang-undang mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan pensijilan.


Yang Berhormat Menteri Hal hwal Ugama menyatakan perkara tersebut semasa menjawab soalan yang dikemukakan terdahulu oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin yang menyentuh mengenai perlanggaran permohonan label Sijil Halal yang telah mansuh pada hari ke-12 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-19 MMN bagi Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis, di sini.


Jelas Yang berhormat, orang awam dan orang ramai adalah sangat dihargai untuk memberikan maklumat-maklumat kepada pihak-pihak yang berkenaan untuk mereka bertindak dengan segeranya.


“Bahagian yang berkenaan dalam proses di mana mengenai pensijilan Halal kawalan makanan ini pada masa ini pun sudah mesra IT tetapi untuk peningkatannya sudah ada peruntukan dan peruntukan itu dalam pelaksanaannya akan dilaksanakan kalau tidak silap sebanyak BND1 juta akan dilaksanakan dengan diselaraskan pihak yang berkuasa IT sahaja," jelas Yang Berhormat.


Terang Yang Berhormat lagi, kalau ada sistem sudah terbina seperti sistem pada masa ini iaitu seperti BruHealth dan sebagainya mengenai dengan kehadiran sistem itu mudah-mudahan akan lebih terlaksana lebih mesra digital.


Menyentuh tentang proses mendapatkan Sijil Halal yang memerlukan 'checklist' yang panjang yang menyebabkan memakan masa yang lama, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama menyatakan bahawa jawapan TPOR permohonan adalah selama 45 hari iaitu bagi permohonan yang lancar, tiada masalah malah boleh jadi kurang dari 45 hari tersebut kerana peringkat-peringkat untuk pensijilan itu berperingkat-peringkat.


“Bagi permohonan yang tidak lancar, itulah dimestikan syarikat-syarikat untuk mematuhi undang-undang dan peraturan- peraturan," ujar Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama.


Close