Oleh : Pg. Syiaruddin Pg. Dauddin / Foto : Hamzah Mohidin, Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 18 Mac. - Apabila sesuatu produk makanan tersebut diragukan kehalalannya, terutama sekali berita yang tular daripada negara jiran seperti Malaysia, Bahagian Kawalan Makanan Halal seterusnya akan menghubungi kepada pihak yang berkenaan bagi mensahkan sama ada berita yang tular tersebut sah atau tidak.
Seterusnya, barulah kenyataan dikeluarkan, sekiranya kenyataan di sana mengesahkan berita tular berkenaan, maka barangan berkenaan akan dikeluarkan daripada jualan di tempat yang halal, tempat yang disyaki yang dikatakan dalam istilah syaraknya syubhah.
Jadi apabila sudah dipindah ke tempat lain, maknanya sudah diumumkan kepada orang ramai supaya beringat-ingat dan tidak lagi mengambil barangan tersebut.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa menjawab pertanyaan mengenai 'respond time' isu kehalalan makanan tular yang diajukan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman pada hari ke-12 Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan Ke-19 Majlis Mesyuarat Negara (MMN) bagi Tahun 1444 Hijrah / 2023 Masihi.
“Dari segi kalangan negara MABIMS Yang Berhormat Pengerusi, berapa tahun sudah ada ketetapan keputusan untuk saling mengiktiraf tetapi keputusan itu belum di'formularised' di peringkat tertinggi.
“Berkali-kali sudah ada percubaan tetapi buat sementara itu 'kitani' tidaklah membuang masa tanpa melakukan sesuatu, jadi 'kitani' secara informal mengadakan persetujuan untuk pengiktrifan secara 'case by case'.
“Ini sangat menolong, seperti yang dikatakan tadi, bahawa untuk memudahkan pemohon-pemohon Sijil Halal, mereka hendaklah menggunakan bahan-bahan yang diiktiraf halal termasuk daripada Malaysia oleh JAKIM. Dengan demikian itu terjadi, InsyaaAllah akan mudah.
“Maknanya kita akan mengiktiraf, walaupun belum ada secara formal antara negara MABIMS sudah berusaha ke arah itu," tambah Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama pada persidangan yang berlangsung di Dewan Persidangan MMN, Bangunan Dewan Majlis.