Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Alishahrin Haji Mumin
JERUDONG, Isnin, 20 Februari. - Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) menganugerahkan biasiswa kepada 30 pelajar Universiti Brunei Darussalam (UBD) bagi Program Biasiswa Kejuruteraan Proses dan Kimia.
Hadir selaku tetamu kehormat semasa Majlis Penandatanganan Biasiswa yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Brunei, di sini ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.
Juga hadir, Chargé d'Affaires, Kedutaan Republik Rakyat China di Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Wang Hai Tao; Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle dan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dr. Haji Mohd. Zamri bin Sabli.
Pada majlis tersebut, tetamu kehormat bersama Naib Canselor UBD dan Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai menyaksikan pelajar-pelajar UBD menandatangani perjanjian biasiswa.
Majlis penandatanganan menandakan kumpulan ke-10 pelajar UBD menerima biasiswa di bawah Program Biasiswa Kejuruteraan Proses dan Kimia yang ditubuhkan oleh Hengyi Industries dengan UBD dan Universiti Zhejiang, menjadikan jumlah biasiswa yang dianugerahkan kepada 167.
Sejak penubuhannya daripada program biasiswa itu, 91 pelajar menamatkan pengajian mereka dan menyertai kumpulan tenaga kerja profesional Hengyi Industries.
Majlis kemudian diteruskan dengan Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) Hengyi Industries dengan IBTE bagi program kerjasama bersama yang ditubuhkan pada Julai 2021.
Menandatangani bagi pihak Hengyi Industries ialah Ketua Pegawai Eksekutifnya dan IBTE diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif IBTE. Majlis Penandatanganan tersebut juga turut disaksikan oleh tetamu kehormat.
Di bawah program kerjasama bersama, Hengyi Industries dan IBTE menawarkan Diploma Program Kawalan dan Automasi dalam Kejuruteraan untuk pelajar IBTE.
Diploma tersebut merupakan jurusan selama tiga tahun di mana pelajar perlu menjalani dua tahun pendidikan akademik dengan IBTE dan Universiti Teknologi Vokasional Petrokimia Lanzhou (LPUVT) dan satu tahun latihan sambil kerja bersama Hengyi Industries.
Sebagai sebahagian daripada MoU, pelajar akan diberikan tawaran pekerjaan bersyarat di bawah program tersebut di mana mereka akan berpeluang untuk bekerja dengan Hengyi Industries selepas tamat pengajian mereka.