Ekspo Pengajian Tinggi Ke-8 berlangsung 13 Februari





Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Januari. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengajian Tinggi sukacita mengumumkan mengenai Ekspo Pengajian Tinggi Ke-8 Tahun 2023 yang akan diadakan secara dalam talian (online) selama empat hari mulai Isnin, 13 Februari 2023, jam 9.30 pagi hingga 4.30 petang dan akan diteruskan pada hari-hari berikutnya, iaitu Selasa, 14 Februari 2023 hingga Khamis, 16 Februari 2023, jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang.

 

Tahun ini merupakan kali ke-8 Ekspo Pengajian Tinggi diungkayahkan oleh Kementerian Pendidikan.

 

Objektif Ekspo adalah bagi menyediakan Pusat Informasi Sehenti (One Stop Information Centre) Pengajian Tinggi yang akan menggabungkan institusi-institusi dari pengajian pasca menengah, pengajian tinggi awam dan swasta; serta agensi-agensi sektor pendidikan dalam negeri yang berkaitan di bawah satu platform bagi memberikan gambaran mengenai pengajian pasca menengah dan pengajian tinggi yang terdapat di negara ini.

 

Selain itu, ia memberikan peluang kepada orang ramai untuk berinteraksi secara sembang langsung (live chat) dan menghadiri persidangan video (video conferencing) bersama pusat-pusat pengajian tinggi dan agensi-agensi sektor pendidikan bagi mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan, juga sebagai landasan orang ramai untuk mengetahui tentang pelbagai laluan (multiple pathways) ke pengajian tinggi dan prospek pendidikan di pasca menengah dan pengajian tinggi.

 

Demikian yang digariskan oleh Pemangku Penolong Pengarah dari Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan selaku Timbalan Ketua Pentadbir Projek Ekspo Pengajian Tinggi 2023, Dayang Dina Roslina binti Haji Aliuddin pada sidang media mengenai Ekspo Pengajian Tinggi 2023 yang berlangsung di Dewan Persidangan 1 (P1), Ibu Pejabat Kementerian Pendidikan, pagi tadi.

 

Setakat hari ini katanya, sebanyak 26 buah institusi pengajian tinggi, agensi perkhidmatan pendidikan dan juga agensi-agensi kerajaan serta swasta menyertai Ekspo Pengajian Tinggi ke-8 2023, termasuk 11 institusi pengajian tinggi awam dan swasta dalam negeri, dua institusi dari luar negara, dua kedutaan serta 11 agensi kerajaan dan swasta.

 

“Antara institusi-institusi pengajian tinggi awam Brunei Darussalam yang menyertai adalah Universiti Brunei Darussalam (UBD); Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA); Universiti Teknologi Brunei (UTB); Politeknik Brunei (PB) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

 

“Manakala institusi pengajian tinggi swasta yang turut serta ialah Laksamana College of Business (LCB); Cosmopolitan College of Commerce and Technology (CCCT); Kemuda Institute (KI); Brunei Darussalam Institute of Certified Public Accountants Academy Sdn. Bhd. (BICPA); Jerudong Park Medical Centre College of Health Sciences (JCHS) dan Kolej International Graduate Studies (KIGS).

 

“Ekspo juga turut disertai oleh dua institusi dari luar negara, iaitu Centre for Technology Excellence, Sarawak, Malaysia dan Gachon University, Republik Korea," terangnya lagi.

 

Semasa ekspo tersebut tambahnya, institusi-institusi akan menawarkan program-program, mengongsikan syarat-syarat kemasukan dan tatacara pendaftaran serta segala maklumat yang berkaitan mengenainya.

 

Di samping itu, Kementerian Pendidikan juga akan membarigakan maklumat-maklumat terkini seperti Sistem Pusat Kemasukan ke Pengajian Tinggi atau Higher Education Centralized Admission System (HECAS), Biasiswa-Biasiswa Kerajaan dan permohonan bagi mendapatkan pengiktirafan kursus/kelulusan.

 

Jabatan-jabatan di bawah kawalan Kementerian Pendidikan yang akan menyertai ekspo adalah Jabatan Pengajian Tinggi, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan, Jabatan Pengurusan Pendidik, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Unit Kaunseling dan Unit Pendidikan Kerjaya (Jabatan Sekolah-Sekolah); dan Pusat Keusahawanan Inovasi.

 

Sementara itu, kedutaan-kedutaan, juga agensi-agensi kerajaan dan swasta yang akan turut serta dalam ekspo ini adalah seperti Kedutaan Jepun; Kedutaan Besar Republik Rakyat China; Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri; HRD Services; Syarikat Pakar Tenaga Bersatu Sdn. Bhd.; Mahkota Maju Sdn. Bhd.; Beyond Tomorrow; MEG Educational Services; Australian Trade and Investment Commission (Austrade); Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) Group of Companies; Baiduri Bank; Hengyi Industries Sdn. Bhd.; dan Brunei Shell Petroleum (BSP).

 

Seperti tahun lalu, Ekspo Pengajian Tinggi kali ini juga akan mengadakan sesi Webinar dari beberapa institusi pendidikan dan persatuan tempatan secara dalam talian menerusi laman web YouTube yang juga boleh diakses oleh orang ramai selepas Webinar berakhir.

 

Antara tajuk-tajuk Webinar yang akan disampaikan adalah tatacara permohonan Higher Education Centralized Admission System (HECAS), peluang-peluang tawaran biasiswa dan program pembelajaran sepanjang hayat.

 

Ekspo Pengajian Tinggi 2023 adalah dibukakan kepada orang awam khususnya bagi lepasan menengah dan pra-universiti iaitu lepasan Brunei-Cambridge G.C.E. 'O' dan 'A' Level atau kelulusan yang sebanding dengannya yang berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat tinggi seperti program-program National Technical Education Certificate (NTec), Higher National Technical Education Certificate (HNTec), Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Ijazah Kedoktoran serta mereka yang ingin mengembangkan kemahiran secara 'upskilling' (meningkatkan kemahiran yang ada) dan 'reskilling' (mempelajari kemahiran baharu yang lain).

 

Orang ramai yang berhasrat untuk menyertai ekspo tersebut boleh membuat pendaftaran secara dalam talian (online) melalui portal Ekspo Pengajian Tinggi di https://heexpo.moe.gov.bn bermula hari Rabu, 1 Februari 2023 pada jam 9:00 pagi.


Close