Purata kes COVID-19 catatkan penurunan





Oleh : Khartini Hamir / Foto : Alishahrin Haji Mumin

 


BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Januari. - Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, kadar purata kes COVID-19 yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam terus menunjukkan penurunan, yang mana kadar purata kes COVID-19 dalam masa satu minggu ke belakang ialah 143 kes sehari, berbanding dengan kadar pada minggu sebelumnya, iaitu 223 kes sehari.

 

Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media Normal Baharu COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, yang berlangsung di Dewan Al-'Afiah, Kementerian Kesihatan, petang tadi.

 

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, sebanyak 35,365 keputusan ujian ART telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam masa satu minggu di mana 2.8 peratus daripadanya adalah keputusan ujian ART yang positif.

 

“Pada hari ini, tidak ada kes di dalam Kategori 5 dan Kategori 4 yakni yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Intensif (ICU) atau yang memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi," ujar Yang Berhormat.

 

Sehingga kelmarin, 23 Januari 2023, kadar liputan vaksinasi COVID-19 di Negara Brunei Darussalam kekal berada di tahap yang tinggi dengan 79.0 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin, dan 11.8 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

 

Pada hari ini juga, sebanyak 148 kes baharu telah dilaporkan iaitu 147 kes hasil ujian ART, dan satu kes telah dikesan dari ujian-ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

 

"Semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara dari segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala jua," ujar Yang Berhormat.


Close