Oleh: Haniza Abdul Latif / Foto: Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BERAKAS, Khamis, 24 November. – Sejumlah 500 anak pokok ditanam di kawasan seluas 0.5 hektar semasa Projek Penghutanan Semula Ke-6 (6th Reforestation Project) di Taman Biodiversiti, Taman Rekreasi Hutan Simpan Berakas, di sini.
Projek berkenaan merupakan anjuran Syarikat Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi) bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-3 syarikat berkenaan bagi kejayaan pentauliahan kilang petrokimia dan penapisan Hengyi Industries.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Puan Yang Terutama Yu Hong.
Juga menyertai projek berkenaan, Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan; Pengarah Jabatan Perhutanan; para wakil dari Pihak Berkuasa Petroleum (The Petroleum Authority); Kedutaan Besar Republik Rakyat China di NBD; Persatuan Perusahaan China di NBD (Chinese Enterprises Association in Brunei Darussalam); serta sukarelawan dari Universiti Brunei Darussalam (UBD); dan lebih 90 orang kakitangan dan pengurusan Hengyi termasuk para pelajar penempatan di syarikat berkenaan.
Acara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi, Mr. Chen Lian Cai.
Setelah itu, majlis diteruskan lagi dengan penanaman anak pokok Cassia Fistula yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan.
Sebanyak enam jenis spesies anak pokok yang berbeza ditanam semasa projek berkenaan seperti Meranti Putih Timbul, Meranti Laru, Selangan Daun Tebal, Kapur Peringgi, Casorina Nobilis dan Meranti Merah Kesumbah.
Spesies pokok yang dipilih semuanya berasal daripada Hutan Simpan Berakas, kerana ia lebih berdaya tahan dan mampu tumbuh di tanah berpasir dan persekitaran rizab yang lebih kering.
Hutan Simpan Berakas juga dikenal pasti sebagai salah satu kawasan yang dilanda kebakaran hutan menyebabkan lokasi berkenaan dipilih bagi membantu memulihkan hutan simpan.
Ditubuhkan pada Mei 2019, projek penghutanan semula adalah sebahagian daripada aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hengyi Industries di bawah Inisiatif Satu Planet Hengyi dengan tujuan membantu melindungi dan memelihara persekitaran semula jadi NBD.
Sehingga hari ini, sebanyak 3,510 anak pokok ditanam di seluruh tanah seluas 3.5 hektar berkenaan.
Hengyi Industries juga mengambil langkah lanjut untuk memastikan penjagaan yang sewajarnya diberikan kepada semua pokok yang ditanam di bawah projek penghutanan semula supaya mereka dapat tumbuh dengan mantap sepanjang tahun.