Majlis Kesyukuran sempena selesai pembinaan surau Pusat Ehsan




Oleh: Haniza Abdul Latif / Foto: Azmah Haji Ahad

 


BENGKURONG, Khamis, 24 November. - Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) kini mempunyai sebuah surau yang sudah siap dibina bagi menampung seramai 100 orang jemaah, di samping memiliki dua bilik darjah untuk guru-guru ugama menjalankan kelas ugama dan pelbagai aktiviti keugamaan bersama para penuntut pusat berkenaan.

 

Sehubungan itu, Pusat Ehsan petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran sempena selesainya pembinaan surau pusat berkenaan, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Penaung Pusat Ehsan, Datin Paduka Seri Hajah Mariam binti Haji Abd. Aziz.

 

Pada majlis berkenaan, tetamu kehormat majlis memasang jubin terakhir di dinding surau berkenaan dengan diiringi bacaan Selawat ke atas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam yang dipimpin oleh Awang Sanif bin Haji Tarip.

 

Turut sama memasang jubin berkenaan, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman, selaku Yang Di Pertua Majlis Ugama Islam Brunei, yang juga penaja terbesar bagi surau berkenaan, iaitu BND400,000 daripada Majlis Ugama Islam Brunei.

 

Seterusnya turut bersama memasang jubin berkenaan, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turki, Tuan Yang Terutama Profesor Hamit Ersoy, selaku penaja bagi jubin etnik,  mural, kaligrafi dan kemasan dinding surau yang diterbangkan dari negara Turki bernilai BND104,919.07.

 

Juga hadir, para penaja bagi Surau Pusat Ehsan yang terdiri daripada syarikat-syarikat dan orang ramai.

 

Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam adalah sebuah badan kebajikan bukan kerajaan dan tidak berasaskan keuntungan dengan menyediakan pembelajaran khas yang bermutu, latihan, pemedulian dan perkhidmatan pemulihan anggota kepada para insan istimewa di Negara Brunei Darussalam.

 

Pada masa ini, seramai 350 orang insan istimewa berdaftar dan mengikuti pelbagai program di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Bengkurong dan 23 orang insan istimewa di Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam Cawangan Kuala Belait.



Close