Pertingkatkan usaha, kerjasama, jamin keselamatan jalan raya




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi



JERUDONG, Khamis, 24 November. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) bersabda menekankan bahawa usaha-usaha dan kerjasama padu perlu dipertingkatkan lagi dalam sama-sama menjamin keselamatan di jalan raya.


Dalam sabda, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna mengambil maklum, statistik menunjukkan jumlah kenderaan aktif di jalan raya setiap tahun meningkat sekitar 14 ribu buah dan jumlah pemandu juga semakin bertambah, di mana seramai 5,576 orang memperoleh lesen baharu dan 140,316 lagi memperbaharui lesen mereka pada tahun lepas.


“Ini bererti, satu pertiga daripada jumlah penduduk di negara ini adalah pemandu kenderaan bermotor. Dalam hal ini, setiap pengguna jalan raya, sama ada yang memandu kereta, menunggang motosikal atau basikal dan pejalan kaki, mempunyai pengaruh langsung terhadap keselamatan jalan raya. Oleh itu, kerjasama padu diperlukan untuk menjamin keselamatan di jalan raya," demikian sabda Yang Teramat Mulia semasa berangkat ke Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi Tahun 2022 bertempat di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.


YTM seterusnya bersabda, manakala kadar kemalangan jalan raya menunjukkan trend yang menurun daripada 3,515 kes pada tahun 2017 kepada 3,104 kes pada tahun 2021.


“Akan tetapi, kadar kes kematian dari bulan Januari hingga Oktober 2022 adalah sebanyak 18 orang berbanding 16 orang sahaja pada tahun lepas. Ini amat mendukacitakan. Oleh itu, usaha-usaha perlu untuk dipertingkatkan lagi," tegas sabda YTM.


YTM juga bersabda mengingatkan orang ramai bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berusaha sedaya upaya menjadikan jalan-jalan raya di negara ini selamat untuk digunakan dan oleh itu diharapkan semua pengguna jalan raya dapat bekerjasama dan memberikan tanggungjawab bersama.


“Selain daripada pengguna jalan raya itu sendiri, MKKJR juga memainkan peranan penting. Salah satu usahanya adalah pelancaran Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025 pada tahun 2020.


“Saya difahamkan berbagai program telah pun dilaksanakan tetapi masih juga berlaku kehilangan nyawa. Oleh yang demikian, MKKJR perlu untuk memastikan Pelan Strategik tersebut masih relevan dan menepati keadaan semasa," sabda YTM menegaskan.


Dalam masa yang sama, YTM juga percaya, adalah amat penting untuk menanamkan kesedaran mengenai keselamatan di jalan raya di peringkat awal, terutamanya kepada kanak-kanak semenjak di sekolah rendah lagi.


Untuk tujuan tersebut, tambah sabda YTM lagi, MKKJR dengan kerjasama pihak Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan telah menubuhkan Kelab Keselamatan Jalan Raya untuk murid-murid sekolah.


Inisiatif-inisiatif seperti ini sabda YTM, perlu disokong dan diteruskan dan ia diharapkan dapat membuahkan hasil yang baik.


Dalam perkembangan yang lain, YTM juga difahamkan pihak-pihak berkuasa di negara ini telah mula menggunakan sistem-sistem teknologi terkini yang dapat menganalisa dengan mendalam mengenai kejadian kemalangan.


“Pusat Kawalan Jambatan Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien juga telah mula menggunakan sistem yang mampu menghasilkan maklumat mengenai jenis, ukuran berat dan kelajuan sesebuah kenderaan.


“Selain itu, beberapa buah syarikat tempatan telah juga memperkenalkan sistem seperti 'driver distraction' dan 'fatigue detection' dan 'lane change assist systems'. Penggunaan kaedah teknologi tersebut perlulah dimanfaatkan," sabda YTM menambah.


Mengakhiri sabda, YTM menyeru semua untuk sama-sama berazam dan berusaha untuk mengurangkan kejadian kemalangan akibat kecuaian kita sendiri kerana 'Keselamatan Jalan Raya Adalah Tanggungjawab Kitani Bersama'.



Close