Tingkatkan kewaspadaan, amalkan sikap memandu berhemah




Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi



JERUDONG, Khamis, 24 November. - Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna binti Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri selaku Penaung Diraja Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam (MKKJR) berkenan berangkat ke Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi Tahun 2022 bertempat di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.


Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia ini merupakan inisiatif antarabangsa yang disambut pada setiap hari Ahad pada minggu ketiga bulan November setiap tahun.


Inisiatif ini bertujuan untuk memperingati mangsa-mangsa lalu lintas jalan raya serta keluarga mereka yang turut terkesan akibat kemalangan jalan raya.


Sambutan Hari Memperingati Mangsa-Mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia diadakan pada tahun ini dengan bertemakan 'Justice'.


Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam mengetengahkan tema 'Justice' ini kepada aspek kepatuhan kepada undang-undang atau peraturan serta menghormati hak setiap individu untuk menikmati jalan raya yang selamat sebagai kemudahan awam, yakni kesaksamaan yang juga selaras dengan prinsip Maqasid Syariah.


Terdahulu, keberangkatan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna dijunjung oleh Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha selaku Pengerusi MKKJR; Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohd. Riza bin Dato Paduka Haji Mohd. Yunos selaku Timbalan Pengerusi MKKJR; Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Awang Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali selaku Ahli MKKJR; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Ir. Awang Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku Ahli MKKJR; dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) MTIC, Awang Haji Mohammad Salihin bin Haji Aspar selaku Setiausaha MKKJR.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Pehin Khatib Dato Paduka Awang Haji Metassan bin Haji Tahir diikuti dengan sembah alu-aluan Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi selaku Pengerusi MKKJR yang antara lain menyembahkan mengenai inisiatif-inisiatif dan status-status program-program yang sedang dan telah dilaksanakan.


Dalam menyedari akan perlunya untuk memberikan keutamaan kepada peningkatan keselamatan jalan raya, Yang Berhormat menyeru kepada orang ramai untuk menjadikan keselamatan jalan raya tanggungjawab bersama dan juga mengingatkan bahawa faktor asas yang menentukan keterukan atau kesan buruk kemalangan adalah kelajuan.


Oleh yang demikian, jelas Yang Berhormat, pastikan setiap kenderaan dipandu mengikut had kelajuan yang telah ditetapkan khusus mengikut keadaan jalan raya.


Semasa majlis tersebut, YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna juga berkenan mengurniakan Sabda Khas dan seterusnya berkenan melancarkan Buku Edisi Kedua 'The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam' dan Buku Bacaan Bersiri Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam : Adab Dan Keselamatan Kitani Di Jalan Raya.


Buku Edisi Kedua 'The Safe and Smart Driving in Brunei Darussalam' diterbitkan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) sebagai salah satu inisiatif di bawah Kumpulan Tindakan Undang-Undang dan Penguatkuasaan (KTUP) yang dilaksanakan di bawah The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025.


Ia bertujuan sebagai rujukan yang merangkumi sebahagian besar aspek pemanduan di Negara Brunei Darussalam dan adalah mudah diakses dan mesra pengguna untuk semua pengguna jalan raya.


Sementara itu, Buku Bacaan Bersiri Pendidikan Keselamatan Jalan Raya Negara Brunei Darussalam : Adab Dan Keselamatan Kitani Di Jalan Raya diterbitkan oleh Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan sebagai salah satu inisiatif di bawah Kumpulan Tindakan Penyelidikan dan Perkembangan (KTPP) dan juga dilaksanakan di bawah The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025.


Buku bacaan ini akan diedarkan ke sekolah-sekolah rendah seluruh negara dan disimpan di perpustakaan di Sudut Buku Bacaan Inspirasiku iaitu salah satu sudut di mana para murid dimestikan untuk membaca buku-buku yang tersenarai.


Pada majlis tersebut, YTM juga berkenan menyempurnakan pengurniaan hadiah-hadiah kepada penuntut-penuntut yang menyertai Pertandingan Kuiz Keselamatan Jalan Raya Bagi Peringkat Sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara Tahun 2022 di mana sebanyak 161 pelajar telah menyertai kuiz berkenaan.


Johan pertandingan tersebut dimenangi oleh Dayang Nur Alyaa Hafeezah binti Rizal dari Ma'had Islam Brunei.


Sementara itu, bagi Pertandingan Mencipta Klip Video Keselamatan Jalan Raya bagi Peringkat Sekolah Menengah, Maktab-maktab dan Pusat Tingkatan Enam Tahun 2022 pula, sebanyak 17 klip video diterima dan johan bagi pertandingan ini ialah Dayang Fatin Noor Hasibah binti Noor Aflan dari Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.


Kedua-dua projek berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan juga sebagai inisiatif di bawah KTTP yang dilaksanakan di bawah The Brunei Darussalam Road Safety Strategic Plan 2025.


YTM kemudiannya berkenan menyaksikan Pameran Keselamatan Jalan Raya oleh MKKJR, Brunei Bridge Authority (BBA), Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Syarikat Pemasaran Brunei Shell Sdn Bhd (BSM).


Sebelum berangkat meninggalkan majlis, YTM berkenan menandatangani Lembaran Keberangkatan sempena Majlis Hari Memperingati Mangsa-mangsa Lalu Lintas Jalan Raya Sedunia bagi Tahun 2022.


Majlis turut dihadiri oleh Ketua-ketua Perwakilan Asing ke negara ini, Ahli-ahli MKKJR, pegawai-pegawai kanan dan kakitangan kementerian-kementerian, jabatan-jabatan dan pihak-pihak berkuasa yang berkenaan, syarikat-syarikat swasta serta persatuan-persatuan yang berkaitan, sekolah-sekolah memandu dan institusi-institusi pendidikan.


Dalam kesempatan ini, pihak MKKJR menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah.


Pemandu berhemah sentiasa mementingkan keselamatan, baik sebelum memandu ataupun semasa memandu.


Semasa berada di jalan raya, seseorang pemandu hendaklah sentiasa mengamalkan sikap yang baik bagi mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.



Close