Berkenan hantar titah perutusan tahniah





BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 November. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan menghantar titah perutusan tahniah kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim di atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia yang Ke-10.


Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya percaya di bawah kepimpinan dan kewibawaan Yang Amat Berhormat Dato' Seri menerajui pentadbiran negara, Malaysia akan terus menikmati kemajuan demi kesejahteraan rakyat.


Baginda juga seterusnya mengalu-alukan peluang untuk terus bekerjasama rapat dengan Yang Amat Berhormat Dato' Seri bagi memperkukuhkan lagi hubungan akrab yang telah sekian lama terjalin serta memperluaskan lagi kerjasama di pelbagai bidang yang berkepentingan bersama demi kemanfaatan kedua-dua buah negara dan rakyat masing-masing.


Pada mengakhiri titah perutusan tersebut, baginda berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala semoga Yang Amat Berhormat Dato' Seri dan Yang Amat Berbahagia Dato' Seri Dr. Wan Azizah binti Dr. Wan Ismail serta keluarga sentiasa dikurniakan kesihatan dan dalam perlindungan-Nya jua dan seluruh rakyat Malaysia menikmati perpaduan, kestabilan dan kemakmuran yang berpanjangan.


Close