Pupuk budaya membaca, galak pembelajaran sepanjang hayat



Oleh: Rohani Haji Abdul Hamid / Foto: Azmah Haji Ahad

 



- Perkhidmatan eBuku (Overdrive) yang akan dilancarkan pada hari ini akan memberikan impak yang cukup baik dalam meningkatkan lagi perkhidmatan Perpustakaan DBP sekali gus secara tidak langsung menggalakkan lagi masyarakat khususnya golongan remaja dan kanak-kanak untuk membaca.



- Pendekatan Senegara (Whole of Nation Approach) sewajarnya terus diterapkan termasuklah melibatsertakan para sukarelawan dan masyarakat dalam sama-sama berganding bahu melaksanakan pelbagai program pembelajaran sepanjang hayat khususnya di perpustakaan-perpustakaan seluruh negara ke arah mencapai perpustakaan sebagai hab sumber ilmu dan rujukan serta kemahiran.



- Karnival Memperkasa Budaya Membaca adalah salah satu acara tahunan DBP dalam usaha untuk menyemai minat membaca dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.



- Untuk memupuk budaya membaca dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat secara tidak formal melalui pelbagai medium yang boleh dilaksanakan di Perpustakaan DBP di seluruh negara.



 - Dihasratkan agar dapat meningkatkan penggunaan perpustakaan dari segi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

 

 



 

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 23 November. – Dalam meningkatkan lagi upaya pemerkasaan budaya membaca, penelitian terhadap tahap pencapaian budaya membaca di negara ini hendaklah dilaksanakan bagi meninjau dan mengenal pasti tahap budaya membaca dalam kalangan masyarakat.

 

Hasil penelitian ini nanti, akan diketahui faktor-faktor yang dapat ditingkatkan dan diperbaiki oleh semua pihak dalam sama-sama memupuk budaya membaca di negara ini.

 

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi bin Haji Mohamad menyatakan perkara tersebut dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd. Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, selaku wakil peribadi Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan, pada Majlis Kemuncak Karnival Memperkasa Budaya Membaca yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Bandar Seri Begawan (BSB).

 

Yang Berhormat menyeru, jadikanlah perpustakaan sebagai tempat tumpuan untuk mendapatkan dan menyebarkan ilmu pengetahuan.

 

“Dampingilah buku dan jadikanlah amalan membaca sebagai tabiat seharian. Manfaatnya mungkin tidak akan nampak serta merta tetapi apa yang pasti, tidak akan rugi bagi orang yang membaca kerana Allah Subhanahu Wata'ala mewajibkan hamba-hamba-Nya untuk menuntut ilmu," jelas Yang Berhormat.

 

Menurut Yang Berhormat, perkhidmatan eBuku (Overdrive) yang akan dilancarkan pada hari ini akan memberikan impak yang cukup baik dalam meningkatkan lagi perkhidmatan Perpustakaan DBP sekali gus secara tidak langsung menggalakkan lagi masyarakat khususnya golongan remaja dan kanak-kanak untuk membaca.

 

Perkhidmatan berbentuk digital tambah Yang Berhormat, akan menyediakan lebih kurang 1,000 buah tajuk daripada pelbagai genre termasuk majalah, yang akan memudahkan lagi pengguna, iaitu orang ramai untuk mengakses dan mendapatkan bahan bacaan dengan pantas.

 

Terdahulu dalam teks ucapannya, Yang Berhormat menjelaskan bahawa karnival pada tahun ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak, iaitu pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan, kumpulan-kumpulan, usahawan belia dan para peniaga kecil-kecilan.

 

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat menyatakan, Pendekatan Senegara (Whole of Nation Approach) sewajarnya terus diterapkan termasuklah melibatsertakan para sukarelawan dan masyarakat dalam sama-sama berganding bahu melaksanakan pelbagai program pembelajaran sepanjang hayat khususnya di perpustakaan-perpustakaan seluruh negara ke arah mencapai perpustakaan sebagai hab sumber ilmu dan rujukan serta kemahiran.

 

Majlis diteruskan lagi dengan pelancaran perkhidmatan e-Buku Perpustakaan DBP dan penyampaian Hadiah Kerajinan Membaca kepada para ahli perpustakaan di seluruh negara; penyampaian Hadiah Cabaran Lost in The Library; penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang Mata Pelajaran Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu bagi peperiksaan Brunei Cambridge GCE Peringkat 'O' dan 'A' serta penyampaian Hadiah Lantera Bahasa yang disempurnakan oleh Pengiran Haji Mohd. Hasnan.

 

Karnival Memperkasa Budaya Membaca adalah salah satu acara tahunan DBP dalam usaha untuk menyemai minat membaca dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini.

 

Pada tahun ini, karnival berkenaan diadakan secara bergerak di keempat-empat buah daerah mengikut jadual yang telah ditetapkan dengan menyediakan pelbagai aktiviti yang terpilih.

 

Cawangan perpustakaan-perpustakaan yang terlibat ialah Perpustakaan BSB, Perpustakaan Daerah Tutong, Perpustakaan Kampung Pandan dan Perpustakaan Daerah Temburong.

 

Karnival berkenaan diadakan adalah untuk memupuk budaya membaca dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat secara tidak formal melalui pelbagai medium yang boleh dilaksanakan di Perpustakaan DBP di seluruh negara.

 

Selain itu, ia dihasratkan agar dapat meningkatkan penggunaan perpustakaan dari segi perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan dalam kalangan masyarakat di negara ini.

 

Close