Pesta Kerjaya : Peluang pekerjaan buat anak tempatan



Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas

 






JERUDONG, Rabu, 23 November. – Para pencari kerja tempatan kini berpeluang berinteraksi dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta yang terlibat semasa berlangsungnya Pesta Kerjaya 2022 yang dibuka rasmi pada hari ini anjuran Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC), Jabatan Perdana Menteri (JPM) bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, Jerudong.

 

Majlis Pembukaan Rasmi Pesta Kerjaya 2022 disempurnakan pagi tadi oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku ahli MPEC.

 

Turut hadir, Timbalan Menteri (Urustadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Yang Mulia Dato Seri Paduka Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos; dan Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Yang Mulia Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.

 

Ketua Sekretariat Tetap MPEC, Dr. Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya menekankan bahawa kerjasama dan kolaborasi antara sektor awam dan swasta adalah amat penting bagi meningkatkan jumlah anak tempatan ke dalam tenaga kerja dan bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

 

Beliau seterusnya mengongsikan bahawa Pesta Kerjaya yang diungkayahkan berkenaan disertai oleh lebih 30 buah agensi kerajaan dan lebih 100 buah syarikat yang bertujuan bagi memberikan landasan kepada para pencari kerja tempatan untuk berinteraksi bersama pelbagai agensi yang terlibat bagi mencari pekerjaan dan juga sebagai landasan bagi membimbing tenaga kerja tempatan dalam menghadapi perjalanan kerjaya mereka.

 

Pada majlis berkenaan, Yang Berhormat juga berkesempatan melawat pameran-pameran daripada pelbagai agensi yang terlibat.

 

Pelbagai aktiviti menarik disusun sepanjang berlangsungnya Pesta Kerjaya berkenaan termasuk sesi temu duga secara terbuka.

 

Para pencari kerja tempatan adalah dialu-alukan untuk datang dan membawa Curriculum Vitae (CV) terkini serta dokumen-dokumen yang berkaitan bagi merebut peluang pekerjaan semasa Pesta Kerjaya berkenaan.

 

Pesta Kerjaya dibukakan bagi kunjungan orang ramai terutamanya para pencari kerja sehingga Ahad, 27 November 2022 bermula jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang kecuali Jumaat, bermula pada jam 2.30 petang hingga 5.00 petang bertempat di Dewan 1 & 2, Pusat Persidangan Antarabangsa BRIDEX, Jerudong.

 

Close