Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto: Muhammad Asri Haji Awang Abas
- Kadar pengangguran di negara ini memperlihatkan penurunan daripada 7.3 peratus kepada 4.9 peratus pada tahun 2021.
- Menyokong kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan dalam usaha untuk meneruskan kemajuan di tengah-tengah perubahan teknologi yang pesat serta gangguan yang semakin pantas, adalah amat penting bagi kita untuk menyedari kepentingan memaksimumkan potensi penuh tenaga kerja Negara Brunei Darussalam.
- Organisasi digesa untuk mengadakan amalan pekerjaan bagi membina tempat kerja yang inklusif yang mementingkan kesejahteraan pekerja termasuk bagi yang berkelainan upaya.
-
JERUDONG, Rabu, 23 November. - Laporan Kajian Tenaga Kerja 2021 menunjukkan bahawa kadar pengangguran di negara ini memperlihatkan penurunan daripada 7.3 peratus kepada 4.9 peratus pada tahun 2021.
Ia merupakan satu pencapaian yang sangat baik dan tidak mungkin akan tercapai tanpa adanya kerjasama daripada semua pihak terutamanya 'industry players', institusi-institusi latihan dan syarikat-syarikat swasta yang terus memberikan sokongan dalam menggaji dan menyediakan peluang bagi anak-anak tempatan untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja mereka.
Berucap semasa melancarkan Pesta Kerjaya 2022, di Dewan Persidangan Antarabangsa BRIDEX, di sini, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, seterusnya berkata, bagi memastikan tenaga kerja di negara ini bersiap siaga dengan alam pekerjaan yang sentiasa berubah, penekanan akan terus diberikan pada tiga agenda.
Pertama jelas Yang Berhormat, menyokong kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan dalam usaha untuk meneruskan kemajuan di tengah-tengah perubahan teknologi yang pesat serta gangguan yang semakin pantas, adalah amat penting bagi kita untuk menyedari kepentingan memaksimumkan potensi penuh tenaga kerja Negara Brunei Darussalam (NBD).
“Ini boleh dilakukan dengan menyemai pembelajaran sepanjang hayat melalui peningkatan kemahiran (upskilling) dan kemahiran semula (reskilling), tidak terhad hanya untuk individu yang membuat perubahan besar dalam peranan pekerjaan, tetapi jelas sekali, kita semua perlu sentiasa belajar dan meningkatkan diri untuk mengikuti perkembangan pasaran global yang pesat," ujar Yang Berhormat.
Kedua tambah Yang Berhormat ialah menjadikan tempat kerja yang inklusif dan progresif dalam mendorong persekitaran kerja yang baik.
Dalam konteks berkenaan terang Yang Berhormat lagi, organisasi digesa untuk mengadakan amalan pekerjaan bagi membina tempat kerja yang inklusif yang mementingkan kesejahteraan pekerja termasuk bagi yang berkelainan upaya.
“Dengan berbuat demikian, ia akan menyokong 'talent retention' serta menjana tenaga kerja yang lebih produktif," ujar Yang Berhormat.
Dalam perkara berkenaan jelas Yang Berhormat, pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan beberapa dasar dan garis panduan antaranya Perintah Pekerjaan, 2009; Perintah Agensi Pekerjaan, 2004; Akta Pampasan Pekerja, 1984; Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja, 2009; dan Akta Imigresen.
Undang-undang berkenaan tambah Yang Berhormat, meliputi pelbagai isu buruh seperti pengambilan pekerja dan hak pekerja, gaji dan imbuhan, terma dan syarat kerja, serta hubungan antara pekerja dan majikan.
Menurut Yang Berhormat lagi, NBD adalah ahli Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Jabatan Buruh juga melaksanakan usaha yang meluas untuk mencapai piawaian yang digariskan dalam konvensyen berkenaan.
“Selain itu, kami juga sedang giat berusaha ke arah pendigitalan proses buruh dengan Sistem Pengurusan Buruh Kebangsaan (NLMS) akan menjadi platform untuk memudahkan lagi prosedur buruh yang sedia ada," tambah Yang Berhormat.
Perkara terakhir jelas Yang Berhormat ialah, mengukuhkan jalinan dan kolaborasi antara sektor awam dan swasta.
“Alhamdulillah, kita telah melihat peningkatan dalam anak tempatan yang bekerja di sektor swasta dan Laporan Kajian Tenaga Kerja bagi tahun 2021 baru-baru ini telah mencatatkan peningkatan daripada lebih 83,000 kepada 86,000 warga tempatan dalam sektor swasta.
“Oleh itu, dalam usaha bagi mengekalkan prestasi dan pertumbuhan yang berterusan, ia memerlukan usaha padu daripada semua pihak yang berkepentingan dalam menjana lebih banyak lagi peluang pekerjaan serta menyiapkan tenaga kerja yang bersiap siaga pada masa hadapan.
“Oleh itu, usaha ini adalah penting untuk memaksimumkan lagi penciptaan peluang pekerjaan baharu. Tambahan pula, ini juga penting dalam menyediakan 'future ready people' yang boleh menyesuaikan diri dan dinamik untuk menyediakan mereka untuk masa depan," terang Yang Berhormat.
Sehubungan itu, Pesta Kerjaya yang akan berlangsung pada minggu ini ujar Yang Berhormat akan menyediakan platform kepada para pengunjung untuk mengumpul maklumat berharga berkaitan pasaran buruh seperti pelbagai peluang pekerjaan dan laluan kerjaya, inisiatif peningkatan kemahiran dan kemahiran semula termasuk garis panduan yang diperkenalkan kerajaan.
Oleh itu, Yang Berhormat menyeru kepada semua untuk mengambil peluang keemasan berkenaan untuk menyertai dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang telah disusun sepanjang Pesta Kerjaya berkenaan berlangsung.