Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sendirian Berhad
MUARA, Jumaat, 4 November. - Seramai 54 kakitangan dan pengurusan Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) telah menyertai Kempen Derma Darah yang diadakan di Bangunan Pentadbiran (Admin), Pulau Muara Besar (PMB), baru-baru ini.
Kempen Derma Darah anjuran Hengyi Industries itu merupakan kali ke-4 ia diadakan dengan membawakan tema 'Give Blood, Save Life'.
Sebanyak 54 pain darah telah berjaya dikumpulkan dalam masa sekitar 30 minit dan akan digunakan untuk membantu meningkatkan stok bekalan bank darah di Negara Brunei Darussalam.
Di bawah Inisiatif Hengyi Cares, kempen tersebut adalah sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Hengyi Industries sejak tahun 2019 untuk menggalakkan dan memotivasikan kakitangannya untuk tampil ke hadapan dan menderma darah dengan niat untuk membantu menyelamatkan nyawa serta juga membantu menyebarkan kesedaran tentang kepentingan dan faedah menderma darah.
Selain itu, ia juga diadakan sebagai sebahagian daripada Sambutan Ulang Tahun Ke-3 syarikat tersebut atas kejayaan pentauliahan kilang petrokimia dan penapisan Hengyi Industries.