Oleh : Marlinawaty Hussin / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
JERUDONG, Rabu, 3 Ogos. - Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) menandatangani Perjanjian Pembiayaan Terma Bersindiket Islam (Islamic Syndicated Term Financing) berjumlah USD263 juta bersama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD); Bank Baiduri; dan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), yang menandakan permulaan kerjasama baharu di antara Hengyi Industries dan institusi-institusi kewangan tempatan.
Hadir selaku tetamu kehormat, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hengyi Industries, Chen Lian Cai; Lembaga Pengarah BIBD, Junaidi bin Masri; Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Dayang Hajah Noraini binti Haji Sulaiman; CEO Bank Baiduri, Ti Eng Hui; dan Pemangku Pengarah Urusan (AMD) Perbadanan TAIB, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Adanan.
Menandatangani bagi pihak Hengyi Industries, Ketua Pegawai Eksekutif Hengyi Industries, Chen Lian Cai.
Manakala, Timbalan Pengarah Urusan BIBD, Dayang Hajah Noraini; CEO Bank Baiduri, Ti Eng Hui; dan Pemangku AMD Perbadanan TAIB, Awang Edzwan Zukri menandatangani bagi pihak bank masing-masing.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai dan penyampaian tanda penghargaan daripada Hengyi Industries kepada perwakilan BIBD, Bank Baiduri dan Perbadanan TAIB.
Perjanjian pembiayaan ini melambangkan komitmen dan kerjasama padu yang diberikan oleh institusi-institusi kewangan ini bagi menyokong Pelaburan Langsung Asing (FDI), di Negara Brunei Darussalam.
Ini adalah selaras dengan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-76, di mana baginda menyeru agar memberi tumpuan pada pembangunan ekonomi negara ke arah mencapai matlamat Wawasan Brunei 2035.
Perjanjian tersebut juga sejajar dengan aspirasi Hengyi Industries untuk menjadi loji petrokimia terkemuka di rantau ini, membolehkan syarikat itu untuk terus membangun serta menyumbang ke arah Sektor Hiliran Negara Brunei Darussalam dan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.