37 graduan UBD tamat pengajian ZJU diraikan




Siaran Akhbar dan Foto : Hengyi Industries Sdn. Bhd.



BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 3 Ogos. – Seramai 37 graduan Universiti Brunei Darussalam (UBD) dalam Program Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Kimia dan Proses) telah diraikan pada Majlis Graduan anjuran Hengyi Industries Sendirian Berhad (Hengyi Industries) atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di Universiti Zhejiang (ZJU), hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Naib Canselor UBD, Dr. Hazri bin Haji Kifle.


Atur cara dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Dekan Fakulti Integrated Technologies, Dr. Juliana binti Haji Zaini.


Beliau mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Hengyi Industries dan ZJU atas sokongan yang tidak terhingga di mana tanpa sokongan itu UBD tidak akan mampu meneruskan kejayaan seperti ini.


"Sebagai Dekan Fakulti, saya akan pastikan UBD akan memberi sumbangan penuh kepada program bersama untuk berkembang ke arah kejayaan," tambahnya.


UBD telah berjaya menghasilkan 103 jurutera Kimia dan Proses yang diambil bekerja oleh Hengyi Industries. Ini adalah 100 peratus kadar kebolehkerjaan.


UBD dan ZJU masa ini sedang melatih seramai 80 pelajar, di mana kira-kira 25 akan menyertai UBD Kohort Ke-11 pada tahun ini.


"Program latihan bersama UBD-ZJU telah memberi impak yang besar kepada cara universiti boleh membekalkan graduan terlatih untuk industri.


"Di sebalik tempoh yang mencabar akibat COVID-19, saya ingin mengucapkan tahniah kepada pelajar atas kejayaan mereka dalam menamatkan pengajian profesional mereka secara dalam talian," tambah beliau lagi.


Kemudian acara disusuli dengan ucapan alu-aluan dari Dekan Kejuruteraan Kimia dan Biologi, ZJU, Profesor Youqing Shen dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Tenaga, dan UBD atas sokongan program bersama.


Beliau juga ingin merakamkan penghargaan ikhlas kepada Zhejiang Hengyi Group kerana menjayakan program ini dan atas sokongan berterusan dan padu mereka kepada program bersama.


Sejurus itu, ucapan dari wakil pelajar dari Kumpulan Ke-7 dan Ke-8, Dayang Siti Sarah binti Mohammad Hussin dan Abigail Lee Xin, masing-masing menyampaikan ucapan mereka di mana mereka merakamkan ucapan terima kasih kepada Hengyi Industries kerana memberikan biasiswa kepada para graduan dan pensyarah atas komitmen mereka dalam memberikan bimbingan dan pendidikan yang tidak ternilai kepada para graduan.


Acara diteruskan dengan penyampaian sijil tamat pengajian ZJU kepada 37 graduan UBD dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.


Kesemua 37 sarjana telah mendaftar di bawah Program Biasiswa Bersama, yang ditubuhkan oleh Hengyi Industries dengan kerjasama UBD dan ZJU pada Mac 2014 dengan objektif untuk membantu memupuk bakat tempatan yang lebih mahir dengan menyediakan platform di mana mereka boleh melengkapkan diri dengan pengetahuan teknikal dan latihan melalui kursus ijazah empat tahun yang dibiayai sepenuhnya.


Para sarjana telah menamatkan pengajian satu setengah tahun pertama mereka di UBD serta satu setengah tahun pembelajaran dalam talian dengan ZJU. Setelah berjaya menamatkan pengajian mereka, mereka akan ditawarkan peluang pekerjaan dengan Hengyi Industries.


Sehingga Ogos 2022, Biasiswa UBD - ZJU telah dianugerahkan kepada 138 pelajar, manakala 80 pelajar telah menamatkan pengajian mereka dengan UBD dan ZJU dan bekerja di Hengyi Industries.


Close