Iktiraf perjuangan komuniti perniagaan ASEAN



​Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Tangkap Layar Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohd. Sahrizal Haji Said

 





 

BERAKAS, Selasa, 30 November. - ASEAN Business Awards (ABA) merupakan acara tahunan yang berprestij, yang memberi penghargaan kepada perniagaan-perniagaan di Asia Tenggara bagi pencapaian mereka di atas kadar pertumbuhan perniagaan yang mampan dan sumbangan yang penting terhadap kemakmuran ekonomi rantau ini.

 

Ke arah itu, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei (The Brunei ASEAN Business Advisory Council) menganjurkan ABA 2021 sebagai sebahagian daripada peranan Pengerusi ASEAN 2021.

 

Majlis tersebut diadakan secara maya disebabkan pandemik COVID-19, di mana acara serantau ini adalah bagi meraikan organisasi cemerlang daripada komuniti perniagaan ASEAN yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rantau ini dan kemakmuran dalam tahun yang mencabar ini.

 

Pada majlis itu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri berkenan mengurniakan sabda menerusi rakaman video.

 

ABA kali ini bertemakan, 'Recover Stronger, Together. Sama-Sama', di mana Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN Brunei memutuskan untuk memberikan tema tersebut bagi mengiktiraf perjuangan perniagaan akibat daripada kesan buruk sosioekonomi dan akibat daripada pandemik COVID-19.

 

Sementara itu, Pengerusi ABA, Awang Haji Musa Haji Adnin, dalam ucapannya menyatakan, bahawa ABA julung kalinya diadakan, pada tahun 2007 adalah yang pertama seumpamanya, di rantau ini, ditubuhkan dengan dua objektif, iaitu untuk mengiktiraf perusahaan ASEAN yang cemerlang dan berjaya juga berfungsi sebagai platform untuk menyebarkan maklumat mengenai Komuniti Ekonomi ASEAN.

 

Beliau, seterusnya menambah, bahawa anugerah itu juga memberi tumpuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), yang menjanjikan juga berpotensi menjadi pemain ekonomi global.

 

Pada tahun ini, sebanyak 126 permohonan diterima, di mana 86 telah disenarai pendek dan 45 anugerah berprestij disampaikan kepada organisasi dari negara ASEAN, termasuk dua negara bukan ASEAN, dalam Kategori 'Friends of ASEAN'.

 

Malahan, terdapat empat pertubuhan dari Negara Brunei Darussalam yang memenangi anugerah tersebut, dengan sebuah syarikat memenangi dua kategori.

 

ABA menampilkan lapan kategori, yang merangkumi Sektor Integrasi Keutamaan, Kecemerlangan PKS, Usahawan Muda, Usahawan Wanita, Rakan ASEAN, Perniagaan Inklusif, Pembangunan Kemahiran dan Anugerah Khas Brunei bagi Perusahaan Sosial Baru Muncul bersempena negara menjadi Pengerusi ASEAN 2021.

 

Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Awang Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN 2021, dalam 'Vote of Thanks' pula berkata,  kedua-dua pemenang dan semua calon adalah juara sebenar bagi Tonggak Ekonomi ASEAN.

 

Tegasnya, syarikat-syarikat itu telah bertahan dan membuktikan kepada kita, bahawa peluang untuk perdagangan barangan juga perkhidmatan dan menghasilkan kekayaan banyak terdapat di ASEAN juga ia bersedia untuk direbut.

 

Tahun demi tahun, pemenang anugerah, ujarnya, memberikan kita perspektif dan harapan baharu tentang cara untuk berjaya, di ASEAN. Ini, tambahnya, adalah sebab sebenar untuk diraikan dan patut diiktiraf.

 

ABA juga menampilkan ucapan khas daripada Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Brunei LNG, Dayang Farida binti Dato Talib; dan Timbalan Pengarah Urusan I, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Dayang Hajah Noraini binti Haji Sulaiman, yang merupakan Rakan Kongsi Utama bagi sektor swasta sebagai Pengerusi ASEAN 2021.

 

Anugerah disampaikan oleh penaja Pengerusi ASEAN 2021 sektor swasta Negara Brunei Darussalam, yang merangkumi ASEAN Business Roundtables, ASEAN Business and Investment Summit dan ABA. Manakala, persembahan pula dikoreografikan oleh Origin, dengan 100 peratus pelakon tempatan, yang mempamerkan budaya terbaik ASEAN.

 







Close