Berganding bahu ke arah pemulihan ekonomi



​Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Masri Osman

 

 






BERAKAS, Selasa, 30 November. - Pembangunan teknologi yang pesat telah membentuk semula persekitaran ekonomi.

 

Oleh itu, sektor swasta, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) hendaklah menyesuaikan diri dalam era digital global pada masa ini, dengan meningkatkan tahap kapasiti masing-masing, bagi persediaan memasuki pasaran-pasaran baharu, di luar negara.

 

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri bersabda demikian menerusirakaman video, pada Majlis Pembukaan Rasmi Anugerah Perniagaan ASEAN (ABA) 2021.

 

Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah bersabda menyatakan, bahawa pandemik COVID-19 berkembang secara meluas daripada kecemasan kesihatan kepada krisis ekonomi global dan memberi kesan negatif kepada sektor swasta.

 

Walau bagaimanapun, rantau ini, sabda Duli Yang Teramat Mulia telah mula menunjukkan pemulihan ekonomi, pada tahun 2021 dan sektor swasta memainkan peranan yang penting dalam menyumbang kepada usaha pemulihan berkenaan.

 

Justeru, DYTM dalam sabdanya, menekankan akan kepentingan kerjasama di antara sektor awam dan sektor swasta untuk mencapai pemulihan yang mampan daripada pandemik.

 

DYTM juga menyentuh, bahawa kerjasama yang berterusan di antara kedua belah pihak akan dapat membantu perniagaan-perniagaan mengenal pasti peluang-peluang ekonomi dan tindakan-tindakan yang wajar untuk diambil bagi menguatkan lagi asas perniagaan juga meneroka cara baharu yang inovatif, dalam menjalankan perniagaan.

 

Untuk menyokong kerjasama ini, beberapa dialog dan program di antara sektor swasta dan pelbagai Badan-badan Sektor ASEAN, dalam sabda DYTM lagi, telah meningkat secara mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya dalam bidang PMKS, pelancongan, dan rantaian bekalan global.

 

Dalam hal ini, DYTM seterusnya bersabda menekankan, bahawa program-program, seperti ASEAN Business Roundtables, ASEAN Business and Investment Summit dan ASEAN Business Awards menunjukkan banyak manfaat yang diperoleh, jika kerajaan dan swasta sama-sama berganding bahu.

 

Sebelum mengakhiri sabda, DYTM berkenan mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang anugerah pada tahun ini, bagi kedayatahanan pada menghadapi cabaran-cabaran pandemik dan usaha-usaha di bidang kelestarian, pembangunan kemahiran juga keusahawanan wanita.

 

DYTM juga bersabda memberikan pujian kepada penaja-penaja korporat; bagi mendedikasikan pendapatan mereka untuk tujuan sosial, di mana mereka akan dianugerahkan dengan Brunei Special Award for Emerging Social Enterprises.

 

Malah, DYTM dalam sabdanya, berharap sektor awam dan sektor swasta terus berganding bahu bagi mencapai persekitaran yang dinamik, lestari dan berdaya saing.

 


Close