Isu-isu kepentingan pertahanan terus dimantapkan



Laporan : Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Ampuan Haji Mahmud Ampuan Haji Tengah, Azmah Haji Ahad

 

 


LOGO MMN 2016BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Mac. - Pada Tahun Kewangan 2017/2018, Kementerian Pertahanan dan Jabatan-Jabatan di dalamnya telah disokong untuk disediakan peruntukan sebanyak BND451,790,210.00.


Jumlah tersebut,adalah menurun sebanyak 20 peratus iaitu BND112,860,330.00 dari peruntukan pada Tahun Kewangan yang lalu.

 

Secara ringkas peruntukan kewangan yang disediakan bagi Kementerian Pertahanan adalah seperti Pembayaran Gaji keseluruhannya berjumlah BND288,236,670.00; dan Perbelanjaan Lain-Lain Belanja Tahunan yang Berulang-Ulang BND163,553,540.00.

 

Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Setia Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Haji Ibrahim mengenai dengan tumpuan dan keutamaan Kementerian Pertahanan bagi Tahun Kewangan 2017 / 2018 dalam ucapan Mukadimah Anggaran Perbelanjaan Kementerian Pertahanan dan jabatan-jabatan di dalamnya bagi Tahun Kewangan 2017 / 2018 pada hari ketiga Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Ke-13 MMN, berlangsung di Dewan Majlis, di sini.

 

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, antara fokus dan keutamaan Kementerian Pertahanan adalah seperti untuk mengambil pendekatan berdaya maju yang terbaik dalam meningkatkan keberkesanan dalam menyelaraskan strategi Kementerian Pertahanan ke arah memantapkan perlindungan isu-isu kepentingan negara; Menambah baik tahap kesiapsiagaan dari segi keupayaan tentera bagi menjamin keselamatan negara; Meningkatkan diplomasi pertahanan melalui perjanjian persefahaman, pertukaran lawatan, latihan ketenteraan, pertukaran perisikan, pelantikan Atase / Penasihat Pertahanan, serta latihan dan kursus, pada peringkat negara, serantau dan antarabangsa dalam sama-sama mencegah ancaman-ancaman keselamatan yang kian kompleks dan mencabar, terutamanya ancaman keselamatan yang merentasi sempadan; dan Memperkuatkan usahasama padu bersama agensi-agensi tempatan dalam mendukoung keupayaan masing-masing bagi misi-misi yang sewajarnya pada menjunjung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai keperluan untuk meningkatkan pendekatan 'whole of nation approach' di antara agensi-agensi kerajaan bersama pihak-pihak berkepentingan.

 

Fokus ini, menurut Yang Berhormat,  mengambilkira akan cabaran, konsep pemahaman ancaman keselamatan yang telah berubah dalam arus globalisasi dan integrasi yang semakin mendalam.

 

Semua ini sebahagian besarnya telah membuahkan persekitaran keselamatan yang bersifat dinamik serta tambahan kepada spektrum ancaman yang kini bukan saja merangkumi ancaman bentuk tradisional tetapi juga bentuk baru (bukan tradisional),'' ujar Yang Berhormat.

 

Sehubungan dengan ini, Yang Berhormat menjelaskan, penggunaan aset secara optima dan efektif akan menjadi pemangkin kepada pencapaian keutamaan-keutamaan Kementerian Pertahanan, seperti dalam menangani ketahanan keupayaan tentera, usaha penyelarasan terus dilaksanakan ke atas rangka kerja pengurusan sumber bagi menjana keupayaan dengan lebih holistik, sistematik dan proaktif;  di samping bagi memastikan pemeliharaan aset dan penyelarasan bantuan logistik secara mampan dan berkesan.


Sementara dalam meningkatkan pengurusan aset,  kadar keusangan dengan kepesatan perkembangan teknologi dalam bidang pertahanan, Kementerian Pertahanan telah mengambil pendekatan melalui 'smart buyer of defence technology' dalam mendukung konsep misi operasi dengan teknologi ketenteraan yang bersesuaian, efektif, mampan dan mempunyai keupayaan rantaian bekalan yang berterusan.


Fokus seterusnya ialah untuk meningkatkan kapasiti dan produktiviti sumber tenaga manusia, yang  memerlukan modal insan  berkemahiran, berpengetahuan dan dinamik yang sentiasa berusaha meningkatkan tahap produktiviti melalui keupayaan teknologi dan inovasi.

 

Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, Kementerian Pertahanan juga tidak terkecuali dalam merancang perubahan-perubahan dan melaksanakan pendekatan-pendekatan baru yang inovatif sebagai langkah kepada penjimatan perbelanjaan dan pengurusan kewangan yang berhemah dengan inisiatif-inisiatif yang antara lainnya seperti Penubuhan 'Taskforce' Jimat sebagai kesinambungan kepada usaha berterusan Kementerian Pertahanan dalam memastikan perbelanjaan berhemah dan mengelakkan pembaziran dilaratkan kepada semua peringkat operasi, yang mana berperanan untuk meneliti 'cost drivers' dari perbelanjaan jabatan-jabatan Tentera dan Awam di bawah Kementerian Pertahanan.

 

Seterusnya jelas Yang Berhormat, rancangan untuk memperkenalkan sistem E-Mart, iaitu satu sistem elektronik logistik ke arah penyediaan, penyelenggaraan serta pengagihan pakaian-pakaian, peralatan guna-pakai perseorangan anggota tentera dengan mengikut kawalan kadar atau 'entitlement' yang telah ditetapkan pada setiap individu; Memaksimakan peluang kerjasama dengan negara-negara sahabat dalam bentuk pembangunan kapasiti; dan Menjalankan kajian mengenai peluang-peluang perkembangan 'defence support industry' di negara ini dengan meninjau potensi pembangunan asas industri tempatan untuk menyumbang kepada Kementerian Pertahanan khususnya dan pertumbuhan ekonomi negara secara amnya terutama dalam keperluan perkhidmatan bantuan misalnya pemeliharaan peralatan-peralatan, jentera, kenderaan dan seumpamanya.

 

Kesemua perancangan dan sasaran-sasaran tersebut jelas Yang Berhormat, dilaksanakan menggunakan rangkakerja strategik Kementerian Pertahanan bagi memastikan pelaksanaan projek-projek dan pelan-pelan tindakan tersebut dicapai dengan berkesan serta berdaya tahan.

 

Tambahnya, Panduan Strategik Pertahanan (Defence Strategic Guidance) tahun 2016 / 2017 yang bertemakan 'Kemampuan Melalui Pengurusan Sumber Secara Bijak Disertai Pembangunan Keupayaan Seimbang' akan terus dijadikan rujukan bagi Tahun Kewangan 2017 / 2018 dalam melaksanakan projek-projek dan pelan-pelan tindakan yang sedang berjalan mahupun yang sedang dirancang.

Close