Sesi persekolahan agama bermula



​Berita dan Foto : Noraisah Muhammed

SERIA, Khamis, 7 Januari. - Kemasukan dan pendaftaran Murid- Murid Darjah Pra Tahun 1437 Hijrah/2016 Masihi bagi semua sekolah agama di keempat-empat buah daerah bermula hari ini.

Seramai 89 orang murid baharu darjah pra tadika telah memulakan sesi persekolahan agama mereka di Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri (SU PAP) Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Seria.

08012016 NORAISAH PRA UGAMA 2

ANTARA 89 orang murid yang dibahagikan kepada empat kelas darjah pra tadika iaitu Darjah Pra Alif, Ba, Ta dan Sa.

Guru Besar, Dayang Hajah Zahrah binti Yahya berkata, dari seramai 89 murid-murid tersebut, 48 darinya adalah murid lelaki, manakala 41 adalah murid perempuan dan dibahagikan pada empat kelas pra tadika, iaitu Darjah Pra 'Alif', 'Ba', 'Ta' dan 'Sa'.

Para ibu bapa juga mendengar penerangan mengenai peraturan-peraturan sekolah termasuk waktu kehadiran ke sekolah.

"Alhamdulillah setiap tahun ada penambahan murid-murid yang memulakan persekolahan ugama mereka di sini dan pihak sekolah sudah mengatur serta membuat pelbagai persiapan untuk pembelajaran mereka seperti aktiviti suai kenal, membersihkan bilik darjah serta menyediakan buku-buku teks," jelasnya.

08012016 NORAISAH PRA UGAMA 1

GURU Besar Sekolah Ugama PAP Rashidah Sa'adtul Bolkiah, Seria, Dayang Hajah Zahrah binti Yahya, ketika menyampaikan taklimat.

Guru Besar SU PAP Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Seria berharap dari taklimat berkenaan, ibu bapa akan dapat mengambil berat mengenai pelajaran agama anak-anak mereka, memastikan mereka hadir setiap hari bersekolah agama dan mengikuti perkembangan serta kemajuan mereka dan memberi sokongan terhadap pembelajaran anak-anak mereka.

Sementara itu, tinjauan Pelita Brunei ke SU Panaga, Seria menyaksikan sekolah berkenaan menerima seramai 66 orang murid baharu terdiri daripada 33 lelaki dan 33 perempuan.

08012016 NORAISAH PRA UGAMA 5

KECERIAAN jelas terbayang di wajah murid-murid pra yang memulakan pembelajaran di Sekolah Ugama Panaga, Seria.

Guru Besar, Dayang Mariam binti Haji Mumin semasa menyampaikan taklimat menekankan tentang Undang-undang Wajib Ugama 2012 yang telah dinyatakan dalam Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Hari Guru Ke-22, 2012.

Beliau menekankan beberapa peraturan sekolah seperti kehadiran disiplin murid termasuk tentang waktu persekolahan.

08012016 NORAISAH PRA UGAMA 4

IBU bapa berserta anak-anak mereka yang mendaftar di Sekolah Ugama Panaga, Seria.

Guru Besar SU Panaga, Seria berharap agar murid-murid dapat terus maju jaya dalam bidang pelajaran khususnya pendidikan agama yang berguna untuk dunia dan juga akhirat.





Close