Rasulullah mengangkat martabat kaum wanita



​Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Januari. - Isu penindasan ke atas kaum wanita sebenarnya bukanlah suatu yang baru, bahkan ia telah lama berlaku sebelum kedatangan Islam lagi.

Tanggapan buruk terhadap kaum wanita menjadikan mereka bahan eksploitasi dan diskriminasi sekali gus menjadikan kedudukan kaum wanita sentiasa tertindas dan mendapat tempat yang rendah dalam masyarakat ketika itu.

Agama Islam yang dibawa oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menentukan kedudukan yang adil di antara kaum lelaki dan wanita, sesuai dengan kewajipan dan hak masing-masing sebagaimana yang digariskan oleh Al-Quran dan Hadis.

Sejak Islam dibawa oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kedudukan wanita diangkat dan Baginda menyeru umatnya agar sentiasa melayan wanita dengan baik.

Dalam temu bual bersama Pegawai Ugama Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Siti Mahyana binti Pehin Siraja Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya yang juga selaku Timbalan Setiausaha Bersama Majlis Perhimpunan Khas Wanita Sempena Sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Peringkat Negara Tahun 1437 Hijrah, menjelaskan bahawa walaupun dari segi tanggungjawab, wanita adalah kurang sedikit berbanding dengan lelaki, namun pahala yang diterima oleh seorang wanita tetap sama.

160116 RI HERNIE301PEGAWAI Ugama Kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dayang Hajah Siti Mahyana binti Pehin Siraja Khatib Dato Paduka
Seri Setia Ustaz Haji Awang Yahya.

Bahkan sebagai seorang ibu, jelasnya, martabatnya adalah tiga kali lebih tinggi daripada seorang ayah dan ini jelas menunjukkan bahawa wanita itu diberi kemuliaan yang tinggi dalam Islam.

Kemuliaan seorang ibu, tambahnya, ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Bahzi bin Hakim bahawa nendanya pernah bertanya kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:

‘’Wahai Rasulullah! Siapakah orang yang lebih berhak saya berbakti kepadanya?” Baginda menjawab: “Ibumu”. Aku bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?” Baginda menjawab: “Ibumu”. Aku bertanya lagi: “Kemudian siapa lagi?” Rasulullah menjawab: “Ayahmu, kemudian (baharulah) keluarga yang terdekat serta kaum kerabat yang lain.”

Islam juga, katanya, amat memuliakan kaum wanita yang terdiri daripada para ibu, isteri, saudara perempuan dan anak-anak perempuan dan juga telah menetapkan beberapa hak bagi kaum wanita agar mereka tidak terabai dan teraniaya, antaranya ialah kemuliaan anak perempuan dan saudara perempuan disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi daripada Abu Sa’ed al-Khudri bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa baginya (memiliki) tiga orang anak perempuan, atau tiga orang saudara perempuan, atau dua orang anak perempuan, atau dua orang saudara perempuan, dan (dia) berlaku baik terhadap mereka (perempuan-perempuan ini) serta takut kepada Allah dalam (menjalankan tanggungjawab) ke atas mereka ini, maka (ganjaran) baginya adalah syurga.”

Sementara itu, Pegawai Imigresen di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Dayang Nurulhafizah binti Pehin Khatib Dato Paduka Haji Suhaili Al-Hafiz, pula sangat menyanjungi keperibadian Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan menjadikan Baginda sebagai idola dalam menegakkan hak asasi wanita serta perjuangan Baginda dalam menyebarkan Islam.

160116 RI HERNIE29PEGAWAI Imigresen di Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Dayang Nurulhafizah binti Pehin Khatib
Dato Paduka Haji Suhaili Al-Hafiz.

Menurut beliau, dalam kehidupan berumah tangga, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah memperlihatkan suatu teladan yang baik dalam mengurus rumah tangga di mana sebagai seorang suami, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam amat bertimbang rasa dan bersedia membantu keluarganya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, jelasnya, juga seorang yang tidak lepas tangan dalam membantu menguruskan hal ehwal rumah tanga, contohnya Baginda menjahit pakaian sendiri, memerah susu kambing dan tidak cerewet dalam makan.

Pada masa yang sama, ujar beliau, Baginda Rasulullah melarang suami yang memukul isterinya sebagaimana memukul hamba abdi.

Dalam hubungan itu, tambahnya, sebagai seorang Muslimah sejati seharusnya patut mencontohi perilaku isteri-isteri dan anak-anak Nabi dalam meneruskan perjuangan Baginda dalam syiar dan cara-cara kehidupan Islam yang aman damai dan bukannya dengan keganasan.


Close