Dikir Maulud terus bergema di Masjid Pengiran Muda 'Abdul Mateen



Oleh: Khartini Hamir / Foto : Mohd Sahrizal Haji Said


MULAUT, Ahad, 4 Disember. - Dikir Maulud selama 12 malam berturut-turut sempena memperingati keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam terus bersemarak di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat di seluruh negara.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam pada tahun ini, Jawatankuasa Takmir Masjid Pengiran Muda 'Abdul Mateen (PMAM) meneruskan lagi Majlis Dikir Syarafil Anam bagi malam kelima di masjid berkenaan di sini.

041216 MULAUT RIZAL 6183

JAWATANKUASA Takmir Masjid  Pengiran Muda 'Abdul Mateen meneruskan lagi Majlis Dikir Syarafil Anam bagi menyemarakkan lagi sambutan Maulud Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah yang diikuti dengan Majlis Berdikir dan disambung semula selepas menunaikan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.

Bacaan Doa Dikir dibacakan oleh Bilal Masjid PMAM, Awang Haji Hamdi bin Haji Ibrahim sementara Doa Allah Peliharakan Sultan dibacakan oleh Imam Masjid PMAM, Awang Haji Asbinin bin Haji Zainal.

Juga hadir menyemarakkan lagi majlis dikir tersebut ialah wakil-wakil jemputan dari Kementerian Kesihatan, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Kastam dan Eksais serta Ahli-ahli Takmir Masjid PMAM, MPK Mulaut dan Belia Masjid.

Majlis antara lain bertujuan untuk menggalakkan masyarakat Islam di negara ini, untuk menanamkan rasa kasih dan cinta terhadap Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di samping dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai-pegawai dan kakitangan di kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.

Selain itu, majlis juga diadakan sebagai salah satu syiar Islam untuk memakmurkan masjid, selain memperingati Hari Keputeraan Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan jemaah masjid dan penduduk kampung.

Close