
Oleh : Hezlinawati Haji Abdul Karim / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Dk. Nur Hafilah Pg. Osman

MENTERI
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar
Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd.
Yussof.
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 16 Mac. -
Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) tidak berhasrat untuk
membangun bangunan muzium yang baru memandangkan bangunan tersebut masih
mempunyai ciri-ciri warisan yang sangat tinggi di sebalik usianya
hampir mencapai 50 tahun.
Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar
Jeneral (Bersara) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd.
Yussof menjelaskan perkara itu ketika menjawab pertanyaan yang
disuarakan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang dilantik, Yang
Berhormat Awang Haji Jumat bin Akim tentang sama ada KKBS akan membina
muzium yang baru di lokasi yang sama mengambil kira kerosakan pada
muzium yang ada pada masa ini.
Semasa
bersidang pada hari kesembilan Permesyuaratan Pertama dari Musim
Permesyuaratan Ke-12 Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat
Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menjelaskan keadaan bangunan yang
tersergam itu perlu dikekalkan.
Yang
Berhormat Menteri menjelaskan Muzium Brunei memang telah ditutup sejak
28 Januari, 2014, walaupun demikian beberapa galeri telah pun dipindah
dan kerosakan pada struktur binaan yang disebabkan oleh tanah susur,
serangan anai, kerosakan pada pendawaian letrik dan kerosakan penghawa
dingin telah dan sedang ditangani seperti kerja-kerja pengukuhan tanah,
pembaikanpulihan struktur bangunan dan kerja-kerja tambahan.

ANTARA yang hadir mendengarkan permesyuaratan pada hari kesembilan persidangan berlangsung.
Pembaikan
dan penaikan taraf bangunan Muzium Brunei jelas Yang Berhormat lagi
dijangka akan memakan masa hampir lima tahun mengambil kira penambahan
dan pembisaian bangunan dan galeri di muzium tersebut.
"Sementara
itu sewaktu penutupan muzium ini, walaupun ianya mendukacitakan
bahan-bahan pameran telah pun dipindahkan ke tempat-tempat yang lain dan
sebahagiannya dipamerkan di Muzium Teknologi Melayu, Muzium Maritim,
Taman Warisan Marimbun dan Muzium Kuala Belait yang insyaaAllah akan
dibuka pada bulan Julai tahun ini," jelas Yang Berhormat lagi.