Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ehsan Pg. Haji Shahminan Pg. Haji Besar (Sekolah Ugama PAP Amal Umi Kalthum Al-Islam)
TETAMU kehormat, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Idris bin Haji Aji myampaikan sijil kepada salah seorang peserta khatam.
MULAUT, Khamis, 4 Ogos.- Seramai 77 murid darjah VI, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam, terdiri daripada 34 lelaki dan 27 perempuan diraikan di Majlis Khatam Al-Quran yang berlangsung di Dewan Serbaguna sekolah tersebut, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ketua Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Haji Idris bin Haji Aji.
Sebelum bacaan ayat-ayat lazim oleh para peserta, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dikepalai oleh Awang Haji Idris yang juga menyampaikan sijil kepada para peserta.
MURID-MURID darjah VI, Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Amal Umi Kalthum Al-Islam diraikan di Majlis Khatam satelah menamatkan bacaan 30 Juz Al-Quran.
Majlis juga disemarakkan dengan bacaan Tahtim dan Dikir Marhaban daripada guru dan murid sekolah berkenaan.
Selain menjirus minyak wangi, tetamu kehormat dan para ibu bapa dan penjaga peserta juga berkesempatan menabur bunga rampai kepada para peserta.
Doa khatam dibacakan oleh salah seorang peserta iaitu Mohammad Hafidzullah bin Mohammad Malek Faishal sementara doa selamat pula dipimpin oleh guru sekolah itu, Awang Haji Norsahman bin Haji Othman.
Ia merupakan aktiviti tahunan sekolah tersebut, di samping inisiatif untuk mendekatkan para murid dengan kitab suci Al-Quran sebagai amalan harian dalam menjadikan Negara Brunei Darussalam ini sebuah Negara Zikir.