Dua produk kosmetik tercemar merkuri



​Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 6 September. - Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan dua produk kosmetik yang mana hasil dari ujian makmal Bahagian Kawalan Mutu Ubat, Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan telah mendapati produk tersebut dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Menurut Siaran Akhbar Kementerian Kesihatan, produk-produk berkenaan telah didapati melalui aktiviti pemantauan semasa pasaran yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di kedai-kedai runcit.

Dua produk tersebut 'Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Day' yang dikilang oleh Lyanaz Beautycare Sdn. Bhd. dan Lyanaz Beauty Care, Babies Blink 5 in 1, Susu Madu + Gluthathione + Estrak Tomato-Babies Blink Night yang juga dikilangkan oleh pengilangan yang sama.

Kedua-dua produk kosmetik itu didapati mengandungi merkuri, bahan-bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

pr produkterlarang 1

PRODUK-produk kosmetik yang tercemar merkuri.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh meyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf. Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan dari pengguna, yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan dan mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah menggunakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pemakaiannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan advers dan merasa tidak sihat selepas menggunakan produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara 'online' seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ia adalah menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa di Kementerian Kesihatan, jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi BND5000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan ke Bahagian Penguatkuasaan Farmasi jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan Farmasi melalui talian telefon +673 2393298 sambungan 208, menghantar e-mel ke pharmacy.enforcement@moh.gov.bn atau berjumpa terus Pegawai Penguatkuasaan Farmasi di Tingkat 1, Bangunan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong 'A'.


Close