Masjid Hassanal Bolkiah sambut Jubli Emas 50 Tahun



Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman (kiri) menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada salah seorang kakitangan yang pernah berkhidmat di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.


TUTONG, Jumaat, 7 Oktober. - Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong menyambut Sambutan Jubli Emas 50 Tahun dengan Majlis Khatam Al-Quran di masjid tersebut, Pekan Tutong, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman.

Acara khatam dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang diketuai oleh tetamu kehormat, dan diteruskan dengan bacaan surah-surah lazim, takhtim, tahlil, dan doa khatam.

071016 JUBLI SYIAR-1

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Othman hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut.

Majlis diserikan dengan penyampaian cenderamata kenang-kenangan kepada 14 orang bekas pegawai dan kakitangan yang pernah berkhidmat di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Doa Selamat dan Doa Kesyukuran sempena Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong telah dibacakan bagi memberkati majlis.

071016 JUBLI SYIAR-4

AHLI Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Jemaah Masjid, Kumpulan Belia Beliawanis dan kumpulan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong yang menyertai Majlis Khatam tersebut.

Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong yang telah didirikan sejak sekian lama menerima pengiktirafan dan diraikan penubuhannya yang genap umur 50 tahun sekali gus membuktikan fungsi dan peranan masjid yang bukan sahaja sebagai rumah Allah untuk tempat beribadah, tetapi lebih dari itu ia sebagai institusi yang menyalurkan dan menyebarkan syiar Islam yang kukuh dan berkembang di negara ini.

Sambutan Jubli Emas ini menjadi satu tanda kejayaan dan kebangaan jemaah bagi Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong untuk mengenang kejayaan perkembangan masjid untuk dijadikan sebagai ristaan sejarah yang berpanjangan bagi generasi masa kini mahupun generasi yang akan datang.

071016 JUBLI SYIAR-8

BERGAMBAR ramai bersama tetamu kehormat.

Juga hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Abdul Mokti bin Haji Mohd. Daud; pegawai-pegawai kerajaan, pegawai hal ehwal Masjid, imam imam dan bilal-bilal di daerah Tutong, penduduk kawasan pekan Tutong, Jemaah Masjid, muslimah dan belia beliawanis.

Peserta membaca Al-Quran sehingga khatam Al Quran 30 juzuk adalah terdiri daripada Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong, Jemaah Masjid, Kumpulan Belia Beliawanis dan kumpulan Muslimah Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong.

Close