Merukyah anak bulan Ramadan di Bukit Lumut



​Berita dan Foto :  Noraisah Muhammed


AHLI Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd Shafiee bin Ahmad semasa melakukan rukyah bagi penglihatan anak bulan Ramadan di Bukit Lumut.


KUALA BELAIT, Selasa, 16 Jun. - Umat Islam di negara ini akan menyambut 1 Ramadan 1436 Hijrah pada hari Khamis, 18 Jun 2015 Masihi sekali gus menandakan bermulanya  menunaikan ibadah puasa berikutan tidak sabit kelihatan hasil daripada merukyah anak bulan yang dilakukan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan  di negara ini pada lewat petang tadi.

Di Daerah Belait, seperti lazimnya Bukit Lumut merupakan tempat merukyah anak bulan Ramadan tersebut.

Kerja-kerja merukyah anak bulan tersebut turut dilakukan oleh Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohd Shafiee bin Ahmad, Yang Berhormat Awang Haji Mohd.Yusof bin Haji Dulamin; Pegawai Daerah Belait, Awang Haji Haris bin Othman berserta pegawai-pegawai dari Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Mahkamah Syariah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Pembangunan, Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Hal Ehwal Masjid, dan Jabatan Ukur.

Pengumuman mengenai hasil merukyah anak buan Ramadan disiarkan ke seluruh negara melalui Radio dan Televisyen Brunei.

Sementara itu, Sembahyang Sunat Tarawih dan Witir dan Majlis-majlis Bertadarus akan dimulakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai-balai ibadat di seluruh negara esok.


Close