Berangkat melawat perkembangan Mukim Berakas 'A'



Oleh: Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman, Rohani Haji Abdul Hamid / Foto: Haji Ariffin Mohd. Noor


KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia  semasa berangkat melawat rumah Ketua Kampung Pancha Delima / Kampong Anggerek Desa ,  Awang Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub yang juga selaku Pemangku Ketua Kampong Orang Kaya Besar Imas / Pulaie.


BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 24 Januari.- Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat melawat rumah Ketua Kampung Pancha Delima / Kampung Anggerek Desa iaitu Pemangku Ketua Kampung Orang Kaya Besar Imas / Pulaie, Awang Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub iaitu sejurus selepas menganugerahkan anak-anak kunci rumah.

Semasa berada di sini, baginda juga berkenan menyaksikan pameran mengenai Produk Majlis Perundingan Mukim (MPM) Berakas ‘A’ seperti ubat-ubatan tradisional, kuih-muih tempatan dan kain songket serta menerima pesambah daripada Majlis Perundingan Kampung Pancha Delima / Anggerek Desa.

Awang Haji Zulkifli dilantik menjadi Pemangku Ketua Kampung Orang Kaya Besar Imas / Pulaie sejak bulan Oktober 2007.

Kampung Pancha Delima / Anggerek Desa mempunyai keramaian penduduk sekitar 3,432 orang yang bekerja di sektor kerajaan dan swasta serta persendirian yang mana antara kemudahan prasarana yang terdapat di kampung ini termasuk sekolah rendah kerajaan, klinik kesihatan, kompleks sukan, pejabat pos, pos polis dan stesen minyak.

Dari kampung tersebut baginda meneruskan keberangkatan ke Sekolah Rendah Pulaie dan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.

ariff002aa 24012015 berangkat melawat perkembangan mukim berakas a

BAGINDA semasa berangkat menyaksikan pameran Produk Majlis Perundingan Mukim Berakas 'A' di rumah Ketua Kampung Pancha Delima / Kampong Anggerek Desa , Awang Haji Zulkifli bin Haji Awang Ya’akub yang juga Pemangku Ketua Kampong Orang Kaya Besar Imas / Pulaie.
(Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)

amirul003aa 24012015 berangkat melawat perkembangan mukim berakas a

 BAGINDA menyaksikan songkok-songkok yang dihasilkan oleh penduduk di bawah Mukim Berakas 'A'. 

(Foto : Pg. Amirulnizam Pg. Haji Mohd. Ali)

Baginda seterusnya dijunjung berangkat ke Taman Riadah Tasik Serubing, Kampung Belimbing, Mukim Kota Batu dan berkenan menanam pokok Belimbing Madu serta melepaskan anak ikan bantang.

Keberangkatan baginda di Taman Riadah itu dijunjung oleh Timbalan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Dimuliakan Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Gapor @ Haji Daud bin Karim yang juga selaku Ketua Kampung Belimbing serta ahli-ahli MPM dan Kampung Belimbing, Subok.

Baginda seterusnya berkenan menyaksikan hasil-hasil produk Mukim Kota Batu dan berkenan menerima pesambah daripada MPM Subok serta menandatangani plak keberangkatan.

Taman Riadah Tasik Sarubing terletak berhadapan dengan Klinik Kesihatan Kampung Belimbing, Subok.  Keluasan tasik ini adalah sekitar lima ekar dan menempatkan beberapa jenis ikan tawar. Selain itu taman tersebut juga  mempunyai trek joging sejauh 450 meter dan kawasannya dikekalkan dengan tanaman/tumbuh-tumbuhan asal buah-buahan seperti buah Durian, Tibadak dan Tarap.

Lawatan baginda berakhir dengan Majlis Santap di Mangrove Paradise Resort, Kampung Sungai Belukut, Jalan Kota Batu sejurus salepas menamatkan keberangkatan ke Kampung Panchor (Mengkubau).

ARIF78 240115 MANGROVE Berangkat melawat perkembangan Mukim Berakas A

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia semasa berangkat ke Majlis Santap di Mangrove Paradise Resort, Kampung Sungai Belukut, Jalan Kota Batu.
(Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor)

Keberangkatan baginda dijunjung oleh Setiausaha Tetap Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama (KPSSU), Dayang Hajah Normah Suria Hayati binti Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama (Dr.) Haji Awang Mohd. Jamil Al-Sufri dan Pengurus Mangrove Paradise Resort, Awang Haji Mahadi bin Haji Talib.

Mangrove Paradise Resort merupakan salah satu tarikan pelancong yang unik dengan berlatarbelakangkan pemandangan Sungai Brunei yang mana ketika ini pembinaan fasa keduanya yang berjumlah sebanyak BND3.5 juta telah pun dimulakan pada bulan Jun 2013 dan dibiayai di bawah Skim Kemudahan Perusahaan, KPSSU.

Fasa kedua Mangrove Paradise Resort termasuk pembinaan 10 buah ‘chalet’ dua tingkat, jeti, surau dan sebuah dewan serba guna yang boleh memuatkan sebanyak 1,500 orang yang dijangka akan siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2015.

Keberangkatan baginda bercemar duli ini setentunya menjadi kenangan manis dan ristaan sejarah terutama bagi para penerima kunci rumah.

Close