Oleh: Abu Bakar Haji Abdul Rahman
TUNGKU, Isnin, 15 Disember. -
Menurut laporan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa setiap
tahun lebih daripada 1,170,000 orang mati dalam kemalangan jalan raya di
seluruh dunia.
Daripada
jumlah tersebut kira-kira 70 peratus majoriti kematian berlaku di
negara-negara membangun serta dianggarkan sebanyak 65 peratus kematian
melibatkan pejalan kaki dan 34 peratus pejalan kaki kanak-kanak.
Sementara
itu, lebih 10 juta akan lumpuh ataupun cedera setiap tahun dan
dianggarkan sekurang-kurangnya 6 juta lebih akan mati dan 60 juta yang
lainnya cedera dalam tempoh 10 tahun akan datang di negara-negara
membangun kecuali tindakan segera diambil.
Ketua
Operasi dan Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas
(JSKLL) Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Mohd. Fathdillah bin Haji Abdul
Hamid menyatakan perkara tersebut pada ceramahnya yang bertajuk 'SiKAP
and Enforcement Operation: The Way Forward' pada Seminar Keselamatan
Jalan Raya Kebangsaan di Dewan Teater Institut Teknologi Brunei, di
sini.
Katanya,
kajian WHO pada tahun 2010 dan 2011 mendapati bahawa kematian akibat
kemalangan jalan raya merupakan di antara 10 punca utama penyumbang
kepada kematian di seluruh dunia.

KETUA
Operasi dan Penguatkuasaan, Jabatan Siasiatan dan Kawalan Lalu Lintas
(JSKLL) Pasukan Polis Diraja Brunei, ASP Mohd. Fathdillah bin Haji Abdul
Hamid semasa menyampaikan ceramahnya yang bertajuk "SIKAP and
Enforcementr Operation: The Way Forward" pada seminar Keselamatan Jalan
Raya Kebangsaan di Dewan Teater Institut Teknologi Brunei. (Foto : Mohd.
Mahdi Haji Marsidi)
Menyentuh
kadar kemalangan jalan raya di negara ini, beliau menegaskan ia berada
pada tahap yang membimbangkan meskipun jumlah kemalangan jalan raya yang
dilaporkan tidaklah setinggi di negara-negara membangun namun dari segi
purata kematian kemalangan mengikut penduduk negara ini merupakan salah
satu negara yang mencatatkan kadar kemalangan yang tinggi iaitu 1 :
12500.
Menurut
perangkaan kemalangan jalan raya nyatanya, sebanyak enam jenis kategori
kemalangan dicatatkan bagi tahun 2014 dengan kemalangan kereta sama
kereta merupakan yang tertinggi dengan mencatatkan 1,524, kemalangan
sendiri sama kereta 1,184; kereta sama motosikal 34 kemalangan; kereta
sama penunggang basikal 10 kemalangan; kereta sama pejalan kaki sebanyak
16 kemalangan dan kereta sama jentera berat sebanyak 74 kemalangan.
Katanya,
antara faktor penyebab kemalangan jalan raya tersebut ialah berlakunya
kecuaian / kesilapan pemandu, persekitaran dan keadaan jalan raya dan
faktor kenderaan.
Tegasnya,
sebanyak 85 peratus hingga 95 peratus kemalangan jalan raya yang
dilaporkan adalah berpunca daripada kesilapan atau kecuaian pemandu itu
sendiri seperti memandu melebihi had laju daripada yang ditetapkan,
menggunakan telefon semasa memandu, tidak mematuhi peraturan lalu
lintas, berasa mengantuk atau keletihan, hilang tumpuan semasa memandu,
memandu tanpa memperdulikan keutamaan terhadap keselamatan pengguna
jalan raya yang lain.
Sementara
dari segi faktor kenderaan terangnya, hanya mencatatkan 3 hingga 4
peratus kes-kes kemalangan jalan raya seperti kerosakan mekanikal
kenderaan seperti tayar meletup semasa dalam perjalanan, brek tidak
berfungsi dengan baik, cermin retak atau pecah semasa dalam perjalanan
dan sebagainya.
Dalam
pada itu tambahnya, hanya 4 hingga 5 peratus kes-kes kemalangan jalan
raya yang dilaporkan adalah berpunca daripada faktor persekitaran atau
masalah jalan seperti permukaan jalan yang tidak rata, permukaan jalan
yang licin, selekoh curam yang membahayakan, hujan lebat, binatang liar
dan sebagainya.

SEBAHAGIAN daripara peserta yang mengikuti Seminar Keselamatan Jalan Raya Kebangsaan di Dewan Teater Institut Teknologi Brunei.
(Foto : Mohd. Mahdi Haji Marsidi)
Menyentuh
dengan statistik kesalahan lalu lintas (saman/doket) beliau menjelaskan
bahawa jenis kesalahan (kes) yang paling tinggi dicatatkan sehingga
bulan November tahun ini ialah cukai jalan yang mansuh dengan
mencatatkan sebanyak 558 kes diikuti memasang tabir sebanyak 163 kes,
diikuti memasang pelekat Sun 'X' cermin gelap sebanyak 144 kes.
"Statistik
kesalahan lalu lintas (kompaun) pula mencatatkan sebanyak 10,288 jenis
kesalahan kompaun antaranya kesalahan speeding 5,443 paling tinggi
direkodkan diikuti meletak kereta bukan dikhaskan sebanyak 1,325 kes,
plat lesen tidak mengikuti ukuran sebanyak 813 kes dan tidak berhenti
semasa lampu isyarat merah menyala sebanyak 700 kes.
Dalam
menaiktarafkan lagi mutu perkhidmatan tegasnya, JSKLL selaras dengan
peredaran zaman yang semakin canggih beberapa perancangan telah pun
dirangka sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang.
Antara
rancangan tersebut jelasnya termasuklah penubuhan Traffic Control and
Management Information System (TCMIS), memperkenalkan penggunaan kereta
bertindak (Rapid Response Car) seperti yang digunakan oleh Polis Trafik
Australia, penggunaan peralatan-peralatan berteknologi tinggi dalam
melaksanakan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas, penambahan
cawangan lalu lintas di Daerah Tutong dan Temburong dan meningkatkan
kemahiran serta profesionalisme dalam kalangan anggota JSKLL.
Ke
arah itu jelasnya, perlbagai usaha telah pun dijalankan sama ada dari
pihak kerajaan atau NGO dalam mempertingkatkan kesedaran awam terhadap
kepentingan keselamatan jalan raya di antaranya memperkenalkan SiKAP dan
mempertingkatkan penguatkuasaan lalu lintas.
Sehubungan
itu tekannya, JSKLL akan terus mengadakan operasi mereka terutama pada
hujung tahun ini dalam usaha meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai
keselamatan di jalan raya dan seterusnya berusaha bagi mengurangkan
kadar kemalangan di negara ini serta mengingatkan terutama golongan
remaja supaya memandu dengan lebih cermat dan berhemah,
hormat-menghormati dan bertawakal.