Kerjasama bantu penyelidikan dimeterai



Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam

 




  • Perjanjian dengan UBD tersebut dicapai untuk menyumbang dana bagi pengembangan, pengajaran dan penyelidikan Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBDBRC).
  • UBD telah menubuhkan kumpulan penyelidikan dalam beberapa bidang, termasuk Biodiversiti, Kajian Tenaga, Pendidikan Islam, herba, Catalyst, Teknologi Sensor, Pelancongan, Pendidikan Perbandinagn dan Antarabangsa (ICE), Precision Genomic Medicine (PGM), Bioinspirasi, Peranti Optoelektronik, dan Biosensor, Sains Halal dan Penyelidikan Pengesanan.
  • UBD telah mengemukakan 60 paten, di mana antaranya menghasilkan pengkomersialan, seperti pemberian lesen paten pada salutan foto-katalitik anti-bakteria dan anti-kulat kepada Smart Coating Technologies (B) Sdn. Bhd., dan dengan Pahaytc Sdn. Bhd. mengenai pencirian Aquilaria tempatan atau 'Agarwood'.


JERUDONG, Isnin, 15 Mac. - Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan seorang Perunding Kewangan Berkanun yang juga merupakan kelulusan dari UBD dalam Sarjana Pentadbiran Perniagaan, iaitu Alumni UBD, Kelvin Pong Ming Onn menandatangani satu perjanjian hari ini.

 

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Kelvin Pong Ming Onn, dan Naib Canselor UBD, Datin Dr. Dayang Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, bertempat di Simpur Herbal Café, kampus UBD.

 

Perjanjian dengan UBD tersebut dicapai untuk menyumbang dana bagi pengembangan, pengajaran dan penyelidikan Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBDBRC).

 

Pada masa ini, UBD telah menubuhkan kumpulan penyelidikan dalam beberapa bidang, termasuk Biodiversiti, Kajian Tenaga, Pendidikan Islam, herba, Catalyst, Teknologi Sensor, Pelancongan, Pendidikan Perbandinagn dan Antarabangsa (ICE), Precision Genomic Medicine (PGM), Bioinspirasi, Peranti Optoelektronik, dan Biosensor, Sains Halal dan Penyelidikan Pengesanan.

 

Sehingga kini, UBD telah mengemukakan 60 paten, di mana antaranya menghasilkan pengkomersialan, seperti pemberian lesen paten pada salutan foto-katalitik anti-bakteria dan anti-kulat kepada Smart Coating Technologies (B) Sdn. Bhd., dan dengan Pahaytc Sdn. Bhd. mengenai pencirian Aquilaria tempatan atau 'Agarwood'.

 

Atas inisiatifnya dalam memberikan kembali kepada universiti, sebuah taman di UBDBRC telah diberi nama 'The Pong Endangered Species Garden', di mana penyelidikan mengenai spesies yang terancam dilakukan.

 

Sejak penubuhannya, UBDBRC menjalankan aktiviti penyelidikan terhadap spesies terancam dan yang jarang ditemui di negara ini. Dalam tiga tahun yang lalu, lima daripada enam spesies pokok paling terancam dari keluarga Dipterocarpaceae yang liar turut diselamatkan dan dijaga di taman berkenaan.

 

Melalui projek ini, dan dengan kerjasama empat taman botani lain di Borneo, ia telah memberikan perlindungan kepada 15 spesies yang jarang ditemui dipterokarpa di Borneo. UBDBRC juga bertujuan untuk memelihara individu dan kepelbagaian genetik untuk projek pemulihan masa depan negara.

 

UBDBRC juga merupakan anggota Botanical Garden Conservation International (BGCI), yang mana anggotanya berkolaborasi dalam pengkelasan data dan melindungi spesies langka untuk memelihara kepelbagaian genetik dan melakukan aktiviti pendidikan juga kempen kesedaran terhadap spesies yang terancam. Antara koleksi UBDBRC juga merangkumi tumbuhan spesies tradisional yang boleh dimakan sebagai ciri-ciri perubatan.

 

Salah satu kajian penyelidikan yang dilakukan sekarang adalah mengenai halia, khususnya mengenai penyelidikan aktiviti anti-barah Halia Hitam (Kaemperia piriform). Kajian farmakologi sebelumnya menunjukkan bahawa rizom halia hitam telah digunakan sebagai ubat untuk keradangan, gout, kegemukan, alergi, ulser gastrik, osteoartritis, abses, gangguan kolik dan cirit-birit. Penyelidikan ini akan menilai kesan ekstrak halia hitam pada percambahan sel, penghijarahan daya maju sel, apoptosis dan morfologi sel.

 

Baru-baru ini, Alumni UBD menyumbang kepada dana UBD untuk membantu pelajar menghadapi cabaran pendidikan dalam talian semasa peringkat awal COVID-19 di negara ini.



Close