Rekaan baju 'Dang Budiwati' imbau zaman gemilang Sukan SEA NBD



Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Ak. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 23 Februari. - Rekaan baju kostum 'Dang Budiwati', iaitu pasangan 'Awang Budiman' dihasrat untuk mendidik orang ramai, khususnya golongan kanak-kanak mengenai 'Awang Budiman' dan secara tidak langsung menghidupkan kembali zaman gemilang maskot kebangsaan itu, yang mula dihasilkan semasa Sukan SEA Ke-20, di Negara Brunei Darussalam (NBD).

 

Selain itu, rekaan tersebut juga menambah lagi seri persembahan Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan NBD Ke-37, Tahun 2021.

 

Perkara tersebut dikongsikan oleh Pereka Kostum 'Dang Budiwati', Dayang Hajah Noor Monasaliena @ Suzie binti Haji Mohd. Salleh semasa ditemu bual Pelita Brunei, baru-baru ini.

 

Menurut Dayang Hajah Noor Monasaliena @ Suzie atau lebih dikenali sebagai Mona, rekaan tersebut dihasilkan dengan bantuan Astetika yang merupakan para pelajar lepasan Pusat Pembangunan Belia (PPB), dari program kolaborasi PPB-Aewon.

 

Tambahnya, beliau mendapat idea untuk mereka kostum 'Dang Budiwati' daripada Penolong Pengarah PPB, Dayang Fauziah binti Haji Mohd. Salleh, manakala hasil ilustrasi grafik dibantu oleh Adika Raven dari Mahkota Designs.

 

Pada masa ini, jelasnya, rekaan kostum tersebut dibuat untuk kanak-kanak, berumur 6 hingga 8 tahun, namun bagi mereka yang berminat, bolehlah menempah terus di Astetika menerusi talian +673 8221167.

 

Menyentuh mengenai rekaan tersebut, beliau menjelaskan, baju yang dihasilkan adalah jenis kebaya yang menggabungkan moden dan tradisional dengan mengekalkan identiti 'Awang Budiman', iaitu warna kuning, hitam, merah dan putih.

 

''Untuk menghidupkan semangat patriotik kanak-kanak, kita mesti menanamkan semangat itu dari sejak mereka kecil lagi. Jadi dengan baju kostum ini, ia akan sedikit sebanyak membantu mereka untuk mempelajari mengenai salah satu baju tradisi negara kita,'' ujarnya lagi.




Close