Baiduri Bank menangi 2 anugerah



Siaran Akhbar dan Foto : Baiduri Bank





BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Januari. - Bank Baiduri memulakan Tahun Baharu dengan meraih dua anugerah sekali gus memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai bank konvensional terkemuka di Negara Brunei Darussalam (NBD).


Bank Baiduri diperakui sebagai Best Banking Group for 2021 dan Best in Corporate Governance & CSR oleh International Investor, sebuah penerbitan dalam talian yang berpusat di London dan menyediakan pandangan, berita dan maklumat visual mengenai pelbagai topik daripada pasaran dunia, peluang pelaburan, analisis industri dan banyak lagi.


Mengulas mengenai kemenangan tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui berkata bahawa pengiktirafan dari International Investor ini sejajar dengan visi bank untuk menjadi rakan kewangan terkemuka dan pilihan di NBD di samping itu komitmen pihak bank untuk memperkaya, melibatkan dan berkhidmat untuk memperkasa komuniti.


Beliau juga menjelaskan bahawa dengan perubahan yang signifikan khususnya dalam persekitaran peraturan dan pasaran dalam beberapa tahun kebelakangan ini serta perubahan yang lebih banyak pada masa yang akan datang, pihak bank mengemaskinikan struktur organisasi supaya lebih fokus dalam bidang-bidang utama seperti tadbir urus korporat dan 'risk management', meningkatkan kebertanggungjawaban dan memperkuat kemampuan bank dalam mencapai matlamat strategik.


Dalam kedudukan yang lebih baik untuk pertumbuhan mampan di samping memberikan pengalaman lebih baik kepada pelanggan, Bank Baiduri memulakan pelbagai inisiatif seperti mengembangkan platform perbankan digital.


Bank Baiduri juga banyak melabur dalam pengembangan dan kesejahteraan pekerjanya, melalui usaha digitalisasi tenaga manusia, perkongsian dengan penyedia penyelesaian pembelajaran antarabangsa dan yang baharu dilancarkan antaranya 'Employee Wellness Initiative'.


Bank Baiduri juga memiliki sejumlah inisiatif sosial, ekonomi dan alam sekitar. Antaranya termasuk acara Golf Tahunan Baiduri Masters, bagi mengutip dana untuk membantu Orang Kurang Upaya (OKU), kempen semasa bulan Ramadan untuk golongan kurang berkemampuan serta Cabaran Pelaburan Modal Baiduri (Baiduri Capital Investment Challenge), iaitu cabaran enam bulan untuk memupuk dan meningkatkan kesedaran terhadap pelaburan, perkhidmatan modal pasaran dan perdagangan sekuriti dan dalam masa yang sama meningkatkan celik pelaburan khususnya dalam kalangan belia dan masyarakat umum.


International Investor merupakan jurnal dalam talian dan bercetak yang menyediakan maklumat melalui berita semasa dan artikel dengan maklumat visual melalui pelbagai topik dari pasaran dunia, analisis industri, trend terbuka, peluang pelaburan dan wawancara peringkat 'c-suite'.


Pelanggannya termasuk pelabur institusi, 'family offices', bank swasta, Ketua Pegawai Eksekutif dan COOs syarikat global dengan tujuan untuk mengembangkan kandungan terbaik untuk komuniti pelaburan global.




Close