Inap Desa Seri Tanjung perkenal konsep 'keluarga' atau 'anak angkat'



Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin \ Foto : Ihsan Majlis Perundingan Kampung Sungai Bunga



 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Januari. - Inap Desa Seri Tanjung, Kampung Sungai Bunga yang menawarkan pakej penginapan, berkonsepkan menjadi 'keluarga' atau 'anak angkat' kini semakin mendapat perhatian masyarakat di Negara Brunei Darussalam (NBD).

 

Disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia, Inap Desa Seri Tanjung kini mengalihkan pandangan mereka kepada Penduduk NBD untuk terus menerus memperkasakan ekonomi Penduduk Kampung Sungai Bunga.

 

Pemangku Ketua Kampung, Kampung Sungai Bunga, Awang Zaini bin Haji Salleh semasa ditemu bual oleh Pelita Brunei menjelaskan, perkhidmatan yang disediakan oleh Inap Desa Seri Tanjung, yang dikelolakan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Bunga tersebut memberikan peluang kepada para pelancong dalam negara untuk mengenali dengan lebih dekat lagi mengenai budaya, adat resam dan gaya hidup masyarakat di Kampung Sungai Bunga.

 

Berikutan kejayaan MPK Sungai Bunga dalam memberikan perkhidmatan yang luar biasa kepada para pelancong, sama ada dari luar mahupun dalam negara, beliau seterusnya menjelaskan, Inap Desa Seri Tanjung berjaya memperoleh ASEAN Homestay Standard bagi Tahun 2016 - 2019; dan ASEAN Homestay Standard bagi Tahun 2019 - 2021; juga ASEAN Community Base Tourism bagi Tahun 2019 - 2021.

 

"Antara strategi kami dalam memberikan keunikan kepada para pelanggan kami adalah dengan memanfaatkan sumber kekuatan daripada masyarakat yang mempunyai pelbagai latar belakang, lokasi kampung yang berada di Kampong Ayer dan eko sistem yang bersih.

 

"Masyarakat di NBD masih belum biasa dengan perkhidmatan inap desa, tapi Alhamdulillah dengan pendedahan melalui media massa dan elektronik, masyarakat kini semakin memahami, maka beberapa rombongan kecil sekitar 15 orang ke bawah berminat membeli pakej ini, di mana kebanyakannya adalah dalam kalangan pelajar-pelajar dan persatuan-persatuan," tambahnya.

 

Sambutan daripada kalangan MPK kampung yang lain pula adalah sangat menggalakkan, terutama dari Daerah Belait, Daerah Tutong dan Daerah Temburong, majoritinya berminat dengan pakej 'day trip' sahaja, iaitu berkunjung dan berdudun ke Inap Desa Seri Tanjong, terang Pemangku Ketua Kampung lagi.

 

Awang Zaini, seterusnya menjelaskan, MPK Sungai Bunga akan terus menerus memberikan kesedaran kepada warga kampung untuk sentiasa mesra pelancong, selain mencari sumber kekuatan yang terdapat di Kampung Sungai Bunga untuk diterokai, seperti bukit, hutan dan pulau berdekatan untuk dijadikan sebagai nilai tambah dan keunikan yang terdapat di Kampung Sungai Bunga.

 

"Sebagai misalan yang terbaharu, MPK Sungai Bunga, baru-baru ini telah melancarkan program atau pakej terbaharu, iaitu aktiviti 'hiking', makan di lanting terapung, program perkhemahan dan lain-lain," ujarnya.



Close