DST Winter Wonders bermula 23 Disember ini



​Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas

 





TUNGKU LINK, Khamis, 10 Disember. - DST dengan kerjasama eksklusif bersama Sparks Co Sdn. Bhd. akan menganjurkan acara DST Winter Wonders yang diadakan bersempena Festival Disember Brunei 2020 (BDF 2020).

 

Sehubungan itu, satu sesi Sidang Media untuk mengumumkan acara tersebut berlangsung petang tadi di Ibu Pejabat DST, Tungku Link.

 

Hadir pada Sidang Media tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali selaku tetamu kehormat; Ketua Pegawai Eksekutif Datastream Digital Sdn. Bhd, Awang Radin Sufri bin Radin Basiuni; dan Pengasas serta Pengurus Bersama Relentless Entertainment dan Relentless Academy of Performing Arts, Amy Cheong Sui Ying.

 

Turut berangkat, Pengurus Projek Sparks Co Sdn. Bhd., Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad 'Abdul Qayyum bin Pengiran Sura Negara Pengiran Anak Haji Muhammad Bey Muntassir.

 

Yang Amat Mulia Pengiran Anak Muhammad 'Abdul Qayyum menjelaskan bahawa DST Winter Wonders yang akan diadakan selama 10 hari itu nanti merupakan acara perayaan berorientasikan keluarga yang menawarkan pelbagai jenis jualan makanan dan minuman, permainan karnival, persembahan muzik dan banyak lagi.

 

Acara ini akan diadakan mulai 23 hingga 27 Disember 2020 dan 30 Disember 2020 hingga 3 Januari 2021, bermula jam 2.30 petang hingga 10.00 malam setiap hari.

 

DST Winter Wonders menyediakan empat kawasan bertemakan Snow Village, Vendors Lane, Street Food Marketplace dan Urban Dining, di mana Snow Village akan menjadi tarikan utama acara tersebut nanti.

 

Snow Village akan dihiasi dengan pelbagai dekorasi bertemakan musim sejuk termasuk efek istimewa turunan salji, gelanggang luncur sintetik, makanan dan minuman yang diinspirasikan musim sejuk, permainan tradisional Inggeris dan karnival serta bermacam-macam lagi aktiviti menarik.

 

Sementara itu, Awang Radin Sufri pula menyatakan bahawa dengan menjadi rakan eksklusif bagi acara ini, DST juga akan mengambil bahagian dengan menyediakan tawaran eksklusif kepada orang ramai dengan Easi Everything Campaign.

 

Tujuan kempen ini jelas beliau adalah untuk membawa lebih banyak nilai tambah dan kemudahan di negara ini, bermula dengan pelanggan Easi yang sedia ada dan baharu, di mana tawaran tersebut merangkumi lebih banyak data, lebih banyak nilai dan banyak lagi.

 

DST juga akan mempunyai tawaran terbaru termasuk tawaran 'bundle' dan produk serta perkhidmatan terkini yang boleh didapati di Pavilion DST di Vendors Lane.

 

Pelanggan yang berdaftar untuk mana-mana produk dan perkhidmatan DST semasa acara tersebut nanti akan berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah setiap hari, antaranya telefon bimbit Iphone 12 yang terbaharu serta Apple Watch SE.

 

Selain daripada tawaran perkhidmatan, DST juga akan menyediakan aktiviti menarik untuk orang ramai dan berpeluang membawa pulang hadiah menarik semasa acara tersebut nanti.

 

Awang Wardi pula menyatakan bahawa sejak BDF dimulakan, peningkatan ketara dapat dilihat pada pengurus-pengurus acara iaitu dari 40 acara sehingga kini hampir 90 acara dianjurkan untuk sepanjang bulan Disember.

 

Beilau turut mengingatkan, memandangkan situasi pandemik ketika ini, orang ramai disarankan agar dapat merancang masa mereka sebaiknya jika berhasrat untuk turun ke DST Winter Wonders nanti dan menjaga penjarakan sosial mereka.

 

Orang ramai boleh membeli tiket kemasukan DST Winter Wonders lebih awal di Mabohai Shopping Complex dan The Mall, Gadong mulai 10 Disember 2020 dan juga boleh membeli terus di Jerudong Park Playground sepanjang 10 hari acara tersebut berlangsung.

 

Maklumat lebih lanjut mengenai DST Winter Wonders di Jerudong Park boleh didapati di laman sesawang DST di 'www.dst.com.bn/winterwonders'.

 


Close