Ketahui beberapa langkah berjaga-jaga semasa berenang



Oleh : Haniza Abdul Latif \ Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas



 

 

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 14 Januari. - Berenang adalah sukan rekreasi yang menyeronokkan dan boleh dinikmati oleh semua individu pelbagai peringkat umur, namun apa yang penting setiap individu itu perlu juga penting untuk mengetahui langkah-langkah keselamatan semasa berada di air.

 

Dalam pendekatan Pelita Brunei bersama Jurulatih Sukan Renang, Awang Harjimmey bin Zainal mengenai langkah-langkah berjaga semasa berenang, beliau menjelaskan, para perenang perlu sentiasa ambil tahu tempat mereka akan berenang dan mengetahui kedalaman kolam renang di setiap sudut kolam kerana di antara dua hujung kolam mungkin berbeza.

 

Selain itu, tambahnya, sentiasa menggunakan pelampung jika tidak mahir atau tidak pandai berenang, dan pastikan berenang di kawasan yang selamat juga mengetahui kedalaman air semasa melakukan aktiviti.

 

''Kita juga harus tahu keadaan tempat air, elakkan pergi ke tempat terlalu dalam, air yang terlalu sejuk; dan mempunyai benda-benda berbahaya yang boleh menyebabkan kecederaan, seperti kaca, tin yang berkarat dan lain-lain semasa di pantai,'' terangnya lagi.

 

Ketika berada di pantai atau sungai, menurutnya, pastikan sentiasa membawa atau memakai jaket keselamatan dan elakkan daripada berenang berseorangan juga pastikan untuk melihat tanda-tanda notis dan tanda bendera, di mana kawasan-kawasan yang tidak selamat untuk berenang.

 

Menyentuh mengenai persediaan diri secara fizikal sebelum melakukan aktiviti sukan air, Awang Harjimmey menjelaskan, mereka harus membuat aktiviti pemanasan badan 'dryland excise' dan menggelakkan makan terlalu banyak sebelum membuat aktiviti sukan air.

 

Apabila kaki si perenang berasa kebas-kebas semasa berenang, beliau menyarankan agar mereka menjangkau sampingan sekiranya berlaku di kolam renang, seperti 'lane line' atau terus ke tepi dinding yang berdekatan.

 

Sekiranya terjadi di tempat terbuka pula, katanya, mereka perlu melancarkan dari perut ke posisi bahagian belakang dan harus cuba menarik kaki dengan kaki yang dikongkong ke atas diri sendiri, selain itu, perenang juga disaran untuk menjerit bagi meminta pertolongan di kawasan tersebut supaya orang akan nampak mereka.

 

Beliau, seterusnya menyarankan, agar para perenang tidak panik dan bertenang sekiranya kejadian arus deras berlaku, di samping itu, untuk tidak melawan arus ketika terseret oleh arus.

 

Langkah yang tepat, jelasnya, adalah dengan mengikut arus kemudian berenang ke tepi yang berdekatan untuk sampai ke tempat untuk berpaut.

 

Beliau, seterusnya menjelaskan, antara langkah menyelamat yang disarankan kepada orang awam jika berdepan dengan situasi menyelamat orang hampir lemas, iaitu langkah pertama ialah si penyelamat mestilah menjerit untuk menarik perhatian orang lain di sekeliling persekitaran mereka.

 

''Jangan panik saat melihat kejadian tersebut, lihat sekeliling untuk mencari alat yang dapat membantu, cubalah memanggil dan menenangkan mangsa berkali-kali bagi mengelakkan dari tenggelam ke dalam air,'' ujarnya lagi.

 

Beliau seterusnya menyarankan orang ramai agar mereka mengetahui serba sedikit tentang pertolongan Cardiopulmonary resuscitation (CPR) bagi menyelamatkan mangsa sebelum paramedik sampai untuk membawa mangsa ke hospital.



Close