17 Kontrak ditandatangani, 7 Konsultan dilantik



​Berita dan Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi

 





BERAKAS, Isnin, 30 November. - Sebanyak 17 projek Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan dijangka bermula dengan pelantikan konsultan-konsultan masing-masing pada Majlis Penandatanganan Kontrak dan Persetujuan Pelantikan Konsultan bagi Projek-projek Di Bawah Kendalian JKR, Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat JKR, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan kesemua penandatanganan tersebut ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Ir. Awang Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

 

Majlis penandatangan dimulakan dengan penandatanganan bagi projek Menaiktaraf dan Pengubahasuaian Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas - Fasa 2 yang ditandatangani oleh LCY Development Sdn. Bhd. bernilai BND17,557,154.

 

Projek tersebut akan menaik taraf fasiliti stadium yang sedia ada, termasuk menyediakan kemudahan bagi Orang Kelainan Upaya (berkerusi roda).

 

Projek yang akan berjalan selama 18 bulan itu juga antaranya akan melibatkan menukar ruang di bawah menjadi ruang serba guna sebagai kawasan latihan, acara, pameran, ruang galeri, ruang majlis dan ruang penonton.

 

Majlis kemudian menyaksikan penandatanganan bagi projek Membina Bangunan Baharu Unit Perlindungan Kompleks Rumah Kebajikan, Kementerian Kebudayaan Belia Dan Sukan (KKBS) yang ditandatangani oleh Salsadil Sdn. Bhd.

 

Terletak bersebelahan dengan Kompleks Rumah Kebajikan di Kampung Belimbing, projek bernilai BND1,798,512.85 bakal digunakan oleh kanak-kanak dan keluarga yang dilindungi di bawah undang-undang di Negara Brunei Darussalam apabila ia siap dibina dalam tempoh 13 bulan.

 

Syarikat seterusnya yang menandatangani ialah Pro-Builder Sdn. Bhd. yang terlibat dalam kerja Membina Kolam Penahanan Banjir Daerah Tutong Fasa 1.

 

Projek tersebut menelan belanja sebanyak BND6,078,888 yang akan disiapkan dalam tempoh 24 bulan. Di bawah projek berkenaan, ia akan mengurangkan impak banjir di kawasan yang rendah, seperti di kawasan dataran banjir Sungai Tutong, iaitu Kampung Lubok Pulau, Kampung Liulon, Kampung Bukit Nibong, Kampung Penulud, Kampung Tanjong Maya dan Kampung Sibakit.

 

Manakala kontraktor Foundation Contactor & Engineering Sdn. Bhd. menandatangani tiga projek lagi, iaitu Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-anak Sungai - Kerja-kerja Pembaikan Dinding Sungai Menglait bernilai BND1,673,773 dalam tempoh selama 18 bulan bagi mengelakkan hakisan daripada terjadi; diikuti dengan projek Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-anak Sungai - Pembaikan Saliran di Kawasan Jalan Jerudong Fasa 1 bernilai BND1,227,227 yang juga dalam tempoh selama 18 bulan bagi penaiktarafan longkang outlet; dan seterusnya projek Pembinaan Kalbat Pelepasan Banjir di Simpang 884, Jalan Jangsak bernilai BND1,093,993 yang dijangka berjalan selama lapan bulan bagi menambah longkang kalbat.

 

Sementara itu, kontraktor Beaver Engineering Sdn. Bhd. turut menandatangani dua dokumen kontrak masing-masing bernilai BND1,833,280 dan BND1,688,530 bagi kerja-kerja Projek Rintis Secara Komprehensif Selama Tujuh Tahun Kontrak Bermusim bagi Kerja-kerja Operasi dan Pemeliharaan Stesen-stesen Pam dan Kolam-kolam Oksida Pembentungan Untuk Tadahan Lambak Kiri dan Mentiri, di mana projek tersebut membolehkan menjalankan kerja operasi dan pemeliharaan secara komprehensif ke atas peralatan sistem-sistem pam dan rawatan, dan mengurangkan masalah tekanan air rendah dan masalah bekalan air di kawasan yang terjejas, yang masing-masing mengambil tempoh selama 84 bulan dan 14 bulan.

 

Sebuah lagi projek, iaitu Mengganti Pam-pam Utama bagi Logi-logi dan Booster Pam - Loji Rawatan Air Daerah Brunei dan Muara, Tutong dan Temburong bakal mengurangkan masalah tekanan air rendah dan masalah bekalan air utama di Loji Rawatan Air Layong, Mengkubau, Sumbiling dan Batang Duri.

 

Sementara itu, kontraktor KTH Bersatu Sdn. Bhd. bakal melaksanakan projek Mengganti Pam-pam Utama bagi Logi-logi dan Booster Pam-Loji Rawatan Air Bukit Barun yang bernilai BND1,686,096.36 dan dijalankan selama 20 bulan, di mana ia bakal meningkatkan prestasi pam yang sedia ada bagi membolehkan sumber air bersih dapat disalurkan pada tahap optimum dan memuaskan.

 

Dua lagi projek menyaksikan penandatanganannya, iaitu kontraktor Pembinaan Assrinah Dan Anak-anak Sdn. Bhd., iaitu Mengganti Paip Air Pembekalan Menuju Ke Tangki Sultan Flight bernilai BND723,250 dan akan dijalankan selama 12 bulan sebagai persediaan alternatif bagi sumber air, dan projek kedua, iaitu Siasatan Non-Revenue Water dan Aktiviti Berkaitan Bagi District Metered Areas (DMAS) Terpilih di Daerah Brunei dan Muara yang bernilai BND766,675.16, dijangka berjalan selama 24 bulan, iaitu bagi kajian dan meyelidiki laporan terperinci mengenai status semasa.

 

Kontrak yang bernilai BND513,963 pula bagi kerja-kerja Mengganti Paip-paip Air Lama Jenis Abestos Cement / Galvanised Iron And PVC Di Dalam Rangkaian Sistem Pembahagian Air - Perpindahan Rataie, Daerah Temburong (Fasa 1) dijalankan dalam tempoh 18 bulan adalah untuk memastikan pembekalan air tidak terganggu, dan kontrak bernilai BND300,000 (FSOR) yang berjalan selama 36 bulan ditandatangani oleh Amron Contractor Sdn. Bhd., iaitu bagi melaksanakan kerja-kerja pemeliharaan aset-aset di bawah kawalan JKR Daerah Belait.

 

Manakala kerja-kerja Menaiktaraf Sungai Utama dan Anak-anak Sungai - Kampung Lumut Catchment Area bernilai BND1,092,682 ditandatangani oleh Jumas Sdn. Bhd. dan bakal dijalankan selama 24 bulan, di mana ia apabila siap kelak akan dapat menghalang pembiakan nyamuk, di samping mengurangkan kadar banjir.

 

Projek seterusnya yang menyaksikan penandatanganannya ialah bagi Kerja-kerja Infrastruktur dan Perumahan Am - National Housing Scheme Balanced Infrastructure Works at Kampung Meragang Phase 7, yang akan dilaksanakan oleh MIM Sdn. Bhd. dalam tempoh sembilan bulan dan bernilai BND1,233,089, iaitu bagi menyiapkan semua infrastruktur yang ada di dalam kawasan perumahan ini.

 

Majlis diikuti dengan penandatanganan oleh Haque Vanu Sdn. Bhd. bernilai BND128,001 bagi Maintenance of Landscape and Park Facilities at Menteri Besar Recreational Park For A Period of Two Years yang dijangka akan dijalankan selama 24 bulan bagi memastikan pemeliharaan landskap dan penyelenggaraan / pengurusan kemudahan-kemudahan awam di taman tersebut.

 

Majlis diteruskan dengan penandatanganan bersama Nasir Sdn. Bhd. yang bakal melaksanakan kerja-kerja Daily Collection and Disposal of Wastes From The Roadside Waste Collection Centres in Belait District For A Period of Two Years bernilai BND436,980, yang mengambil tempoh selama 24 bulan, iaitu bagi menguruskan setiap hari sampah-sampah dan sisa-sisa buangan.

 

Sementara itu, tujuh lagi konsultan telah dilantik bagi dua projek, iaitu projek Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Masjid Baru Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Telisai, di mana kedua-dua projek tersebut daripada arkitek OWMP International.

 

Penandatanganan persetujuan pelantikan tersebut ditandatangani oleh Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Kementerian Pembangunan, Ir. Awang Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Zakaria dengan wakil konsultan masing-masing.

 

Manakala penandatanganan kontrak bagi projek-projek pembinaan tersebut ditandatangani antara Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya, Pemangku Pengarah Kemajuan Perumahan, Pemangku Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Pemangku Pengarah Saliran dan Pembetungan, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Air, Pemangku Pengarah Perkhidmatan Bangunan, serta wakil-wakil kontraktor yang dilantik.

 

Majlis diakhiri dengan sesi penyerahan dokumen kontrak dan dokumen persetujuan pelantikan konsultan, diikuti dengan penyerahan dokumen pelantikan konsultan serta sesi bergambar ramai.

 

Turut hadir pada majlis, Timbalan Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dato Seri Paduka Ar. Awang Haji Marzuke bin Haji Mohsin; Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), KKBS, Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang), Kementerian Pembangunan, Sr. Dayang Hajah Norhayati binti Haji Mohd. Yaakub; Ketua- ketua Jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan di bawah JKR, Jabatan Kemajuan Perumahan dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan.

 


Close