Penganugerahan Pingat Kebesaran Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star



​Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman

 





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 November. - Kedutaan Jepun di Negara Brunei Darussalam (NBD) hari ini mengadakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kepada Setiausaha Tetap dan Ketua Protokol di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Paduka Awang Haji Mohd. Nor bin Haji Jeludin.

 

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan dan penghargaan atas sumbangan signifikan beliau dalam memperkukuhkan hubungan dua hala dan menjalin persahabatan antara Jepun dan NBD.

 

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian anugerah tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Yamamoto Eiji.

 

Dalam ucapan tahniahnya, Tuan Yang Terutama mengongsikan antara sejarah penglibatan Dato Paduka Awang Haji Mohd. Nor, di mana pada tahun 1984, beliau merupakan salah seorang rakyat Brunei yang pertama menyertai Program Bahasa Jepun bagi Pegawai Perkhidmatan Luar Negeri anjuran Kementerian Luar Negeri Jepun.

 

Selain itu, beliau pernah menjawat jawatan Duta Besar Istimewa dan Mutlak NBD ke Jepun, dari tahun 2003 hingga 2005, dan banyak menyumbang dalam meningkatkan persahabatan kedua buah negara melalui lawatan peringkat tinggi, termasuk keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Jepun pada Disember 2003, dan keberangkatan Putera Mahkota Naruhito (sekarang Maharaja Jepun) ke NBD bagi menghadiri upacara Perkahwinan Diraja pada September 2004.

 

Ditubuhkan pada 1875, penganugerahan tersebut merupakan sistem penghormatan di Jepun yang diadakan dua kali setahun, iaitu pada Musim Bunga dan Musim Luruh kepada penerima tempatan di atas kejayaan dalam pelbagai bidang dan kepada penerima luar negara di atas sumbangan dalam hubungan dua hala.

 


Close