Aplikasi RTBGo dilancarkan



​Berita dan Foto : Ak. Syi'aruddin Pg. Dauddin

 

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 Oktober. - RTBGo yang dahulunya hanya boleh diakses menerusi laman sesawang 'www.rtbgo.bn', kini boleh diakses melalui aplikasi telefon bimbit yang boleh dimuat turun dari App Store bagi para pengguna iOS dan Google Play bagi para pengguna Android.

 

Sehubungan itu, Majlis Pelancaran Aplikasi RTBGo berlangsung di OneCity Shopping Centre, Jalan Salambigar, di sini.

 

Hadir selaku tetamu kehormat, seterusnya menyempurnakan Pelancaran Aplikasi RTBGo, Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media), di Jabatan Perdana Menteri, Awang Mohammed Riza bin Dato Paduka Haji Mohammed Yunos.

 

Penolong Ketua Rancangan TV, Jabatan Radio Televisyen Brunei (RTB), Awang Muhd. Zulkarnain bin Haji Brahim @ Ahmad, semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya, menjelaskan, teknologi penyiaran pada masa ini telah mengalami perubahan dan evolusi, seperti penggunaan gelombang frekuensi analog kepada gelombang frekuensi digital.

 

"Melalui Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, hala tuju dan fokus utamanya adalah sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Pintar (Smart Nation).

 

"Projek RTBGO adalah dikategorikan sebagai salah satu daripada Empat Teras Strategik yang dikenal pasti bagi mendukung visi dan misi Pelan Induk Ekonomi Digital 2025, iaitu Digitalisasi kerajaan (Government digitalization)," terangnya.

 

Digitalisasi kerajaan adalah Teras Strategik yang menekankan kepada peranan penting kerajaan dalam memudah cara pertumbuhan ekonomi, ujarnya.

 

Beliau, seterusnya menjelaskan, antara fokus yang ditekankan adalah pelaksanaan identiti digital dan inovasi dalam pemberian perkhidmatan yang lebih menyeluruh juga penggunaan teknologi Cloud.

 

Merujuk kepada Statistik Google Analytics mengenai dengan akses RTBGo dari 1 September 2019 hingga 30 September 2020, beliau mengongsikan bahawa pelawat (visitors) yang merupakan pelawat baharu adalah sebanyak 70 peratus (320,000 orang), manakala 29 peratus (130,000 orang) adalah pelawat yang melawat kembali.

 

"Pengguna (Users) yang telah mengakses perkhidmatan RTBGO adalah melebihi 320,000 orang," tambahnya.

 

Juga hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Perkhidmatan Awam, Kesejahteraan, Antarabangsa dan Media), di Jabatan Perdana Menteri, Awang Haji Muhammad Suffian bin Haji Bungsu; Pemangku Pengarah RTB; para penaja; juga pegawai-pegawai dan kakitangan RTB.

 

Produk-produk dan perkhidmatan yang boleh diakses melalui RTBGO ialah saluran televisyen RTB Sukmaindera; semua rangkaian radio RTB; Video-on-Demand (VOD); dan Audio Podcast.

 

Orang ramai juga boleh mengikuti saluran 'GOLIVE', di mana menyiarkan program siaran langsung atau program khas yang tidak disiarkan melalui saluran televisyen secara konvensional.

 

 


Close