Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 19 September. - Burung puyuh merupakan unggas yang menjadi sebahagian daripada agrimakanan sebagai hasil pengeluaran makanan, selain daripada ayam, kambing, kerbau dan sapi.
Dalam pendekatan Pelita Brunei mengenai penternakan burung puyuh, di Ladang Faradilah, yang terletak di Jalan Bengkurong Masin, daging burung puyuh adalah antara kegemaran bagi kebanyakan orang, selain daripada daging ayam kerana daging burung puyuh memang sedap untuk dimakan bagi mereka yang menggemarinya.
Wakil Pelita Brunei semasa menemu bual Pemilik Ladang Faradilah, Awang Haji Amdan bin Haji Ghani, menjelaskan, unggas-unggas, seperti burung, 'pheasant', merpati, turki, itik, angsa, ayam mutiara dan banyak lagi unggas-unggas lain menjadi komoditi pertanian yang terpenting.
Menyentuh mengenai penternakan burung puyuh, Awang Haji Amdan berkata, apabila anak burung puyuh sudah menetas, ia perlu dipindahkan tidak lebih daripada 48 jam kerana setelah waktu tersebut, bekalan makanan yang dibekalkan oleh telur akan habis diserap oleh badan anak burung puyuh yang sudah menetas.
Anak burung puyuh, tambahnya, perlu dipilih dengan hati-hati, iaitu ia mesti dalam keadaan yang sihat dan tidak mengalami kecacatan, di mana bila ada anak burung puyuh yang cacat, ia akan dipisahkan dan ditempatkan di ruangan lain kerana lama-kelamaan ia akan mati disebabkan tidak dapat makan dan minum dengan sempurna.
Oleh yang demikian, menurutnya, kualiti pengeluaran dan pertumbuhan besar anak burung puyuh akan dapat dijaga.
Pemeliharaan anak burung puyuh yang baru menetas, katanya, memerlukan ruang yang panas dan sesuai dengan mesin pengeraman untuk lebih kurang dua minggu.
Jelasnya lagi, setelah anak burung puyuh, berumur kira-kira dua minggu, kepanasan suhu akan dikurangkan cukup untuk mengawal kedinginan dalam ruang kandang.
Model atau bentuk kandang burung puyuh, terangnya, ada bermacam-macam mengikut kesesuaian tempat atau ladang ternak.
Dalam hal ini, menurutnya, apa yang penting bentuk atau model kandang adalah mudah untuk diselenggara dan dibersihkan kerana penyelenggaraan yang sempurna akan menghasilkan daging burung puyuh berkualiti tinggi.
''Daging burung puyuh yang berbau hanyir adalah kesan daripada kandang yang kurang bersih dan pengaruh gas ammonia yang terdapat daripada kotoran burung puyuh yang terlalu banyak, di mana kesan gas ammonia ini akan menyebabkan bulu burung puyuh gugur dan mengakibatkan burung puyuh menjadi kurang subur,'' jelasnya lagi.
Daging burung puyuh, tambahnya, mengandungi protein yang tinggi, berbanding dengan daging ayam atau daging burung yang lain, di samping mengandungi rendah lemak dan kolesterol.
Sementara itu, telur burung puyuh pula, ujarnya, mempunyai nilai kandungan zat dan khasiat yang tinggi, dibandingkan dengan telur unggas lain.
Antara jenis-jenis burung puyuh yang diternak di Ladang Faradilah, Cortunix Japanese; Brown Cortunix Quail; White Cortunix Quail; dan Golden Cortunix Quail.
Awang Haji Amdan semasa mengakhiri temu bual tersebut menyarankan agar para belia tidak terlalu memilih bidang pekerjaan, sebaliknya cuba menceburkan diri dalam aktiviti yang difikirkan boleh memberi manfaat untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Tambahnya, mereka juga perlu berkecimpung dalam bidang kemahiran yang difikirkan boleh menjana pendapatan sendiri, contohnya dalam bidang pertanian, tanpa terlalu memilih pekerjaan berdasarkan kemahiran atau kelulusan yang dimiliki.