PUJA - PTB meterai MoU



​Siaran Akhbar dan Foto : Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA)

 




BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 September. - PUJA Academy Sdn. Bhd. (PASB) dan organisasi latihan tempatan, Pakar Tenaga Bersatu (PTB) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk pengenalan dan kemajuan peningkatan keupayaan yang berkaitan dan program-program latihan.

 

Program yang akan dibangunkan adalah untuk anggota PUJA, industri pembinaan dan juga industri lain yang berkaitan di Negara Brunei Darussalam (NBD).

 

PASB merupakan cabang latihan dan pembangunan daripada Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA).

 

Majlis Penandatanganan MoU tersebut berlangsung di PUJA Hub, Universiti Teknologi Brunei (UTB), Bandar Seri Begawan pada 11 September 2020 lalu.

 

Menandatangani bagi pihak PASB ialah Ir. Julian Fung selaku Pengarah Urusan PASB. Manakala bagi pihak PTB pula diwakili oleh Pengiran FDr. Hishamuddin Alli bin Pengiran Jaya Indera Pengiran Haji Mokhtar Puteh selaku Pengasas dan Pengarah Urusan PTB.

 

Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut ialah Presiden PUJA (B), Ir. Awang Haji Muhammad Zin bin Haji Salleh; Ir. Alice Lim selaku Naib Presiden Bahagian Jurutera PUJA; FDr. Hajah Normawati binti Dato Paduka Haji Othman selaku Pengasas Bersama PTB; ahli-ahli PUJA; ahli-ahli PASB; dan ahli-ahli PTB.

 

MoU berkenaan merupakan langkah pertama untuk bekerjasama dengan organisasi latihan tempatan dalam penyediaan pembangunan profesional berterusan dan program latihan lain, seperti latihan Health, Safety and Environment (HSE) untuk ahli-ahli PUJA dan industri pembinaan di NBD.

 

Kerjasama berkenaan juga merangkumi kerjasama untuk membangun dan memberikan latihan peningkatan keupayaan untuk menyediakan dan memenuhi peraturan dan keperluan industri dan permintaan tempatan.

 

PTB ialah syarikat yang dimiliki dan dikendalikan di dalam negara yang komited untuk menyumbang kepada pembangunan kecekapan dan kemahiran, iaitu sebagai sebahagian daripada pembelajaran sepanjang hayat dan meningkatkan produktiviti tenaga kerja di NBD.

 

Melalui perkongsian strategik yang sedia ada dengan Kumpulan Nisai (Nisai), program latihan yang berkaitan dengan pembinaan tersebut membawa kelayakan yang diiktiraf antarabangsa dan pensijilan melalui Anugerah NOCN Cskills (sebelum ini di bawah Lembaga Latihan Industri Pembinaan (CITB), United Kingdom).

 

Hab serantau Nisai dan Nisai Brunei adalah wakil yang dilantik dari National Open College Network (NOCN) di NBD.




Close