Sumbangan bantuan COVID-19 terus mencurah



​Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

 




BERAKAS, Khamis, 16 April. - Kementerian Kesihatan terus menerima sokongan dan derma yang tak henti-henti dari pelbagai pihak dan sektor swasta di negara ini, bagi sama-sama membantu mencegah penularan jangkitan wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.

 


Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan hari ini menerima sumbangan cek berjumlah BND275,000.00 daripada Adinin Group of Companies,  Exceltech Solutions Sdn. Bhd., Emas Laut, Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd., Powsen Electrical Co., Lifz Technology Sdn. Bhd., Harun Electrical and Engineering Sdn. Bhd. dan Awinco Sdn. Bhd.

 


Daripada jumlah tersebut, sumbangan sejumlah BND200,000.00 disampaikan oleh Pengarah Urusan Adinin Group of Companies, Awang Haji Musa bin Haji Adnin; BND15,000 lagi sumbangan daripada Exceltech Solutions Sdn. Bhd. disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Awang Hafriz Fayadh bin Haji Musa; BND30,000 daripada Emas Laut yang disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Awang Haji Mohammad Taib bin Datu Hulubalang Haji Abdul Wahab; dan BND15,000 sumbangan daripada Syarikat Takaful Brunei Darussalam Sdn. Bhd. pula disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Awang Haji Shahrildin bin Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya.

 


Sumbangan-sumbangan tersebut diadakan di Bilik VIP, Tingkat 3, Kementerian Kesihatan dan diterima oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Md. Isham bin Haji Jaafar.

 


Di ruang lain pula, sumbangan yang sama juga diadakan di Holding Room, Ground Floor, di kementerian berkenaan, diterima oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Awang Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

 


Sumbangan sejumlah BND5,000 daripada Powsen Electrical Co. disampaikan oleh Mr. Chieng Hock Hee; Lifz Technology Sdn. Bhd. menyumbangkan sejumlah BND3,000 yang disampaikan oleh Mr. Ong Boon Kein; BND1,000 daripada Harun Electrical and Engineering Sdn. Bhd. disampaikan oleh Mr. Hon Swee San dan BND6,000 lagi sumbangan daripada Awinco Sdn. Bhd. disampaikan oleh Pengarah Urusannya, Mr. Kalimuthan Ilangovan.

 


Sumbangan tersebut adalah sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibilty) daripada pihak-pihak penderma dalam membantu pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, khususnya Kementerian Kesihatan dalam sama-sama menangani dan membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini.



Close