Barigakan sistem statistik berkualiti



Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid

 





BERAKAS, Selasa, 20 Oktober. - Hari Statistik Sedunia (World Statistics Day - WSD) diraikan pada 20 Oktober setiap lima tahun.

 

Tahun ini Sambutan WSD memilih tema 'Connecting the World with Data We Can Trust' atau 'Menghubungkan Dunia Dengan Data Yang Kita Boleh Percayai' yang memaparkan kepentingan data yang berwibawa dan boleh dipercayai bagi kegunaan dalam membuat keputusan berdasarkan bukti.

 

Sehubungan itu, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, menyertai agensi-agensi perangkaan di seluruh dunia bagi meraikan WSD 2020.

 

Majlis Sambutan WSD pada tahun ini berlangsung di Dewan Teater Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Commonwealth Drive.

 

Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah.

 

Tujuan utama Sambutan WSD adalah untuk membarigakan kepada orang ramai akan pentingnya sistem statistik yang berkualiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Di samping itu, sambutan ini akan mempertingkatkan kesedaran dan keyakinan para pengguna serta orang ramai mengenai perangkaan rasmi negara.

 

Bersempena Sambutan Hari Statistik Sedunia 2020, JPES melancarkan Portal Banci Penduduk dan Perumahan (BPP) 2021.

 

BPP 2021 akan memperkenalkan satu kaedah baharu melalui sistem e-Census. Portal ini dapat diakses melalui 'www.brucensus.gov.bn' di mana membolehkan orang ramai untuk mendaftar dan mengisikan maklumat masing-masing secara dalam talian (online) pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Portal tersebut akan juga akan memuatkan maklumat-maklumat penting mengenai BPP 2021 seperti sejarah dan latar belakang banci, data banci terdahulu bersama infografik, program publisiti, soalan-soalan lazim (FAQs) dan tarikh-tarikh utama pengendalian BPP 2021.

 

BPP 2021 merupakan banci yang keenam seumpamanya dikendalikan di Negara Brunei Darussalam dan akan meliputi semua orang, sama ada rakyat NBD, penduduk tetap atau penduduk sementara yang tinggal di NBD pada tahun 2021.

 

Data yang dikumpulkan melalui BPP 2021 akan membekalkan maklumat yang komprehensif mengenai penduduk mengikut ciri demografi, sosial dan ekonomi, di samping maklumat mengenai jumlah stok tempat kediaman serta kemudahan atau keperluan asas perumahan.

 

BPP 2021 akan dikendalikan dalam tiga peringkat. Peringkat pertama ialah penyenaraian tempat kediaman (houselisting) mengikut kampung / kawasan di setiap daerah di seluruh negara mulai 20 Januari 2021 hingga 21 Februari 2021.

 

Peringkat kedua ialah pengendalian e-Census mulai 20 April 2021 hingga 21 Jun 2021. Manakala peringkat ketiga adalah temu duga bersemuka mulai 20 Julai 2021 hingga 2 Ogos 2021.

 

Ketua Pengarah, JPES, Dayang Hajah Mariah binti Haji Yahya dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa setiap 20 Oktober diisytiharkan sebagai Hari Statistik Sedunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan diraikan setiap lima tahun.

 

Tema WSD 2020 jelasnya, memfokuskan kepada kepentingan mendapatkan maklumat yang sahih daripada sumber-sumber yang berwibawa atau autoritatif dan boleh dipercayai, terutama sekali pada masa yang mencabar ini.

 

"JPES, Kementerian Kewangan dan Ekonomi selaku agensi statistik negara dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan yang lain akan terus berusaha dengan gigih dalam menyempurnakan tanggungjawab yang diamanahkan untuk meningkatkan kualiti data yang dikeluarkan dan memastikan ketepatan masa dan ketelusan data, serta mengurangkan jurang data atau data gap dalam penunjuk-penunjuk utama sosioekonomi negara," ujarnya.

 

Majlis diteruskan dengan persembahan video pelancaran mengenai BPP 2021 dan mini pameran statistik yang turut disertai oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS). 

Orang ramai adalah dialu-alukan untuk mengunjungi pameran yang diadakan sehingga 22 Oktober 2020 bertempat di ruang lobi utama, Kementerian Kewangan dan Ekonomi bermula dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.00 petang.

 

Sebarang pertanyaan mengenai BPP 2021 ini boleh dirujuk ke JPES semasa waktu pejabat melalui talian +673 2230250 atau e-mel kepada 'info.statistics@jpes.gov.bn'. Maklumat lanjut mengenai BPP 2021 boleh juga diperoleh di Portal BPP 2021 'www.brucensus.gov.bn'. 



Close