Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Ihsan Erik Ng Poh Sing
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 12 September. - Wang atau duit syiling lama semestinya mempunyai nilai-nilai tersendiri di samping memberi pelbagai manfaat kepada setiap pemiliknya sama ada sebagai bahan koleksi, pelaburan dan sebagainya.
Pengumpul koleksi wang atau duit syiling lama kini semakin bertambah bilangannya. Salah seorang daripadanya ialah penggemar yang berasal dari Kuala Belait sedang giat mengumpul duit lama iaitu Erik Ng Poh Sing.
Hobi mengumpul duit lama bermula ketika berumur lebih kurang 11 tahun semasa menuntut Darjah 5, dengan mata wang pertama beliau iaitu duit syiling 50 sen berwajahkan Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien yang diperoleh sebagai duit lebihan dari sebuah kedai runcit.
"Saya mendapati duit syiling tersebut berlainan daripada yang biasa digunakan dan ia telah membangkitkan pertanyaan mengenai siapakah wajah Sultan yang tertera pada duit syiling berkenaan. Perasaan ingin tahu yang mendalam mengenai asal-usul duit syiling ini telah mendorong saya mencari maklumat lanjut mengenainya dengan bertanya kepada orang-orang tua dan membaca buku-buku sejarah, seterusnya mencetus minat sejarah yang mendalam," ujarnya.
Menurut Erik Ng Poh Sing, minat mengumpul duit lama kerana menganggap setiap keping duit lama itu sebagai artifak peninggalan sejarah. Bayangkan perjalanan sejarah sekeping duit lama, bermula dari Pencetak Rasmi ke bank-bank dan kemudian diedarkan kepada awam, bertukar tangan daripada seorang individu kepada individu yang lain yang berlainan latar belakang dalam tempoh berpuluh tahun sejarah duit lama tersebut.
Memiliki sekeping duit lama baginya adalah seperti memiliki secebis sejarah lama dalam tangan dan ia merupakan warisan yang tak ternilai.
Beliau menjelaskan, duit lama mempunyai nilai muka, nilai sejarah dan nilai pasaran di mana setiap duit lama mempunyai nilai muka yang tertera pada duit berkenaan, ia juga mempunyai nilai sejarah yang tak ternilai, akan tetapi nilai pasarannya bergantung kepada beberapa faktor seperti kondisi (grade), kejarangan (rarity), dan permintaan pasaran (market demand).
"Jika sekeping duit lama itu jarang didapati dan terpelihara dalam keadaan baik dan terdapat pengumpul-pengumpul yang bersedia untuk membelinya, duit tersebut setentunya mempunyai nilai pasaran yang tinggi. Sekeping duit lama Malaya dan British Borneo dengan nilai muka 100 (Tahun 1953) dalam keadaan baik kini mempunyai nilai pasaran melebihi BND3,000," ujarnya.
Selain dapat memiliki secebis sejarah jelasnya, hobi mengumpul duit lama juga memberikan kepuasan kepada pengumpul atau pemilik kerana dapat memiliki sesuatu yang mempunyai nilai sejarah, unik serta kecantikannya (aesthetic). Setiap mata wang mempunyai kecantikan dan keunikan tersendiri dan ciri-ciri ini dapat diteliti dengan lebih dekat dengan menggunakan kanta pembesar (magnifying glass) atau menggunakan cahaya Ultra-Violet (UV).
Katanya lagi, hobi tersebut juga merupakan satu pelaburan kerana mata wang semakin lama semakin jarang ditemui kerana proses 'pengambilan balik, pemusnahan dan penggantian' dengan mata wang baharu oleh pihak berkuasa. Bayangkan sekeping duit Malaya dan British Borneo yang bernilai 10, tahun 1961 (atau lebih dikenali sebagai duit kerbau) yang biasa kini bernilai lebih kurang BND600, iaitu 60 ganda kenaikan dan sekeping duit lama Al-Marhum Begawan BND1 (tahun 1967) biasa kini bernilai sehingga BND25, iaitu 25 kali ganda.
Erik Ng Poh Sing seterusnya berkata, koleksi yang dimiliki bukan sahaja terdiri daripada wang lama Brunei tetapi juga daripada negara-negara lain, dan juga wang baharu tertentu yang sukar didapati seperti 'specimen', 'proofs', nombor-nombor rendah (low numbers), dan nombor selari (solid numbers - semua angka sama).
Menurutnya lagi, kumpulan duit-duit lama tersebut diperoleh daripada individu dan pengumpul dalam negara, dan juga dibeli daripada 20 buah syarikat lelongan antarabangsa (auction houses). Walau bagaimanapun, peraturan baharu yang dikuatkuasakan sekarang, setiap pengimportan numismatik mesti mendapatkan kebenaran awal daripada pihak Muzium Brunei.
Beliau berkata, pengimportan numismatik tanpa kebenaran awal ke dalam Negara Brunei Darussalam akan disita terlebih dahulu oleh pihak kastam setiba di negara ini dan dihadapkan untuk penelitian pihak muzium bagi mendapatkan kebenaran muzium terlebih dahulu sebelum dilepaskan kepada pemiliknya dan proses ini mengambil masa sehingga tiga minggu lamanya.
Oleh itu katanya, adalah disarankan untuk memohon awal kepada pihak muzium sebelum membawa masuk barangan numismatik bagi melancarkan proses pelepasan kastam. selama ini, pihak muzium telah memberikan kerjasama yang sangat baik kepada beliau dalam hal ini dan semua urusan berjalan dengan lancar.
"Jika duit kertas senang dikenal pasti keasliannya kerana ciri-ciri keselamatannya yang tidak dapat ditiru, seperti kertasnya yang unik, 'watermark' dan 'embossing'. Manakala wang syiling agak sukar untuk memastikan keasliannya kerana sindiket-sindiket penipuan antarabangsa telah dapat meniru ciri-cirinya, seperti jenis logamnya, beratnya dan perinciannya seakan-akan sama dengan yang asli dan sukar dibezakan dengan mata kasar tetapi dapat dikenal pasti jika diteliti secara lebih dekat menggunakan kanta pembesar. Atau lebih senang lagi, duit-duit ini dapat dihantar untuk pengesahan keaslian dan grednya di syarikat-syarikat seperti Paper Money Guaranty (PMG), Numismatic Guaranty Corporation (NGC) dan Professional Coin Grading Service (PCGS) di Amerika Syarikat (AS) dan PCGS Asia di Hong Kong, melalui ejen-ejen di Singapura," ujarnya.
Antara koleksi duit lama yang paling berharga yang dimiliki adalah sekeping duit 'polymer' Brunei 10 ribu ringgit dengan nombor selari 555555, gred 'Almost Uncirculated'. Sementara itu, bagi duit syiling lama yang paling bernilai adalah pitis Kesultanan Sulu zaman Sultan Muhammad Sharafuddin yang memerintah dari tahun Masihi 1789-1808.
"Pitis Kesultanan Sulu memang sangat sukar didapati. Jika dicari di internet memang tidak dapat banyak maklumat mengenai pitis Kesultanan Sulu. Pitis ini diperoleh daripada sebuah syarikat lelongan antarabangsa di United Kingdom," katanya lagi.
Koleksi duit merupakan satu hobi yang bermanfaat dan seharusnya digalakkan terutama dalam kalangan pemuda-pemudi sekarang. Duit lama bukan sahaja dapat dijadikan koleksi untuk mengisi masa lapang, tetapi kecantikannya juga baik untuk ketenangan minda dan mendatangkan kepuasan kepada pemiliknya.
Di samping itu, ia juga dapat dijadikan satu pelaburan jangka masa panjang kerana nilai duit lama (terutama yang terpelihara dalam kondisi terbaik) akan terus melambung naik mengikut peralihan masa. Bagi mengekalkan kesinambungan hobi Erik Ng Poh Sing dalam keluarga, dua orang anaknya, Kevin Ng, 18 dan Benjamin Ng, 15 kini sedang mempelajari hobi tersebut daripadanya.
Sebagai permulaan bagi seseorang untuk memulakan hobi seumpama ini adalah digalakkan membeli katalog mata wang yang diterbitkan oleh pakar-pakar numismatik seperti K.N.Boon dan Steven Tan, dan meneliti siri-siri mata wang yang pernah digunakan dan dikeluarkan oleh Brunei, Singapura dan Malaysia serta mendapatkan idea mengenai anggaran nilai pasaran duit-duit tersebut. Atau juga boleh melayari internet dengan melihat harga-harga di lelongan-lelongan numismatik antarabangsa.