Oleh : Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Ihsan Abasy Collection
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 12 Ogos. - Industri fesyen Muslimah di Negara Brunei Darussalam memang menjadi perhatian sesetengah wanita dan ia berkembang lebih-lebih lagi dalam trend tudung atau hijab.
Melalui perkembangan industri fesyen Muslimah ini, ramai usahawan mengambil peluang dan memberanikan diri untuk mengembangkan jenama atau produk keluaran sendiri. Antaranya adalah Abasy Collection yang menjual pelbagai rekaan dan pilihan tudung atau hijab.
Menurut Pengasas Abasy Collection, Pengiran Hajah Sulfiah binti Pengiran Abd Rajak, beliau telah menjalankan perniagaan sejak tahun 2014 di mana antara yang turut dijual pada masa itu adalah Tudung Bokitta iaitu tudung 'instant' tanpa pin yang didatangkan dari Lubnan.
Apabila pelanggan semakin ramai di samping bagi memenuhi kehendak pelanggan, beliau kemudian memberanikan diri mencipta tudung empat segi yang bukan 'instant' dan tidak menyangka keluarannya mendapat sambutan yang menggalakkan.
Bermula sejak 3 Februari 2018, nama Abasy Collection yang terhasil daripada nama anak perempuan beliau iaitu Afiqah Basyirah semakin berkembang dan dikenali ramai.
"Penghasilan tudung- tudung keluaran Abasy Collection setakat ini mendapat sambutan di Negara Brunei Darussalam. Kualiti kain yang saya pilih adalah Twill Silk, kain yang tidak panas, tidak licin, ringan dan tidak pekak di telinga dan tudung ciptaan saya ini dicetak dari luar negara tetapi idea hasil tudung Abasy Collection dari saya sendiri," ujarnya.
Selain menjalankan perniagaan tudung pada masa ini, beliau juga francais Tudung Bokitta dan menjual pakaian Muslimah. Pihak syarikat sentiasa memastikan Abasy Collection terus aktif dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai melalui pemilihan kawalan kualiti, kuantiti yang sangat terhad, reka bentuk yang sangat lembut dan sangat eksklusif.
Beliau menaruh harapan agar tudung keluaran Abasy Collection akan dapat dipasarkan bukan sahaja di dalam negara tetapi luar negara. Tambahnya lagi, beliau juga berharap, 'design' yang direka khas sendiri oleh Abasy Collection akan terus diterima oleh semua golongan masyarakat tidak kira umur dari golongan muda mahupun yang sudah berumur. Abasy Collection juga merancang untuk menghasilkan berbagai-bagai rekaan mengikut trend dan warna-warna kegemaran terkini.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Abasy Collection, orang ramai boleh mengikuti laman sosial media di Instagram '@abasy.collection' atau mengunjungi butik Abasy Collection di A4, Jalan Pandan 7, Bangunan Hajah Halus Kuala Belait.