Roach Out direka khas membunuh lipas



​Berita dan Foto : Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad




 

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 26 Julai. - Lipas merupakan sejenis serangga dalam order Blattaria atau Blattodea yang sering dijumpai di mana-mana lokasi, terutama di dalam rumah dan kereta.

 

Lipas biasanya tinggal di kawasan gelap dan lembap, seperti di bahagian celah-celah, di dalam kereta dan kadang-kadang juga lubang sistem pendingin udara.

 

Jika ia mati dalam sistem pendingin udara, ia akan mengeluarkan bau busuk. Lipas turut berada di dalam almari dan bawah singki rumah dengan rupanya yang amat menjijikkan juga menakutkan ramai orang.

 

Menurut Research and Development Manager, Roach Out Enterprise, Awang Mohd Hafizal bin Haji Hassan ketika ditemui Pelita Brunei, salah satu punca yang dikatakan mengundang lipas ialah tabiat makan di dalam kereta dan lebih memburukkan keadaan apabila ada ketinggalan sisa makanan yang tertumpah atau tertinggal di kerusi juga celah-celah ruang kaki.

 

''Makanan seperti ini lazimnya akan menyebabkan ia mudah menjadi tempat pembiakan lipas. Walau bagaimanapun ada juga sesetengah kereta yang pemiliknya selalu membersihkan dengan berjadual. Makanan dan barang lain yang disukai lipas lazimnya menjadi lokasi kegemaran lipas. Walaupun ada yang selalu menghalau, tetapi tetap ada lipas yang muncul di dalam kenderaannya.

 

Langkah jangka pendek yang sering dilakukan pemilik kereta ialah dengan menyembur serangga lipas menggunakan racun serangga Aerosol kerana ia memang akan terkesan jika terkena terus ke badannya atau kita sembur dan menutup cermin kereta,'' jelasnya.

 

Bagaimanapun jika amalan menyembur ini sering dilakukan berkali-kali, terangnya, ada kemungkinan kita pula yang pening, tambahan pula kesan daripada bahan kimianya pula dikhuatiri membahayakan kita dan anak-anak yang akan masuk ke dalam kereta yang beracun.

 

Oleh itu, katanya, Roach Out yang diperkenalkan kepada seluruh warga Brunei ketika ini memiliki wangian baharu, iaitu 'Mixed + Berries'.

 

''Ia adalah alat penyembur yang direka khas untuk membunuh lipas yang ada di dalam kereta dengan hanya menghidupkan enjin kereta, kemudian hidupkan penghawa dingin ke maksimum, goncang Roach Out terlebih dahulu, tekan butang sehingga bunyi klik dan tutup semua pintu dan tingkap kereta, tunggu selama lebih kurang 15 minit. Hasilnya lipas-lipas kecil yang ada di dalam kereta pasti akan mati dan awda akan berpuas hati,'' jelasnya lagi.

 

Roach Out boleh didapati di beberapa buah kedai pengedar yang terpilih dan produk ini juga berjaya memasuki pasaran Malaysia.

 

Roach Out Enterprise diusahakan bersama seorang lagi rakan beliau, iaitu Awang Mohammad Gaddafy bin Haji Shadoon selaku Sales and Marketing Manager.




Close