Kampus Politeknik Brunei Lumut terima sumbangan BSP



Siaran Akhbar dan Foto : Politeknik Brunei

 



LUMUT, Selasa, 30 Jun. - Sekolah Sains dan Kejuruteraan Lumut akan memulakan semester baharu pada Julai 2020. Sementara itu, Politeknik Brunei (PB) menerima sumbangan seunit Pam Beam dari Brunei Shell Petroleum (BSP), yang dipasang di sekolah berkenaan pada 20 Jun 2020 lalu.

 

Pam Beam juga dikenal sebagai 'nodding donkey', yang biasa dilihat di bandar Seria, merupakan alat pengangkut buatan yang digunakan dalam industri petroleum untuk menyokong pengangkatan minyak mentah dari lubang bawah ke permukaan. Pemasangan unit pam tersebut di kampus berkenaan akan membolehkan para pelajar mendapat pemahaman yang lebih baik mengenai sistem Pam Beam dan meningkatkan pengalaman pembelajaran mereka.

 

PB menawarkan Program Diploma Kejuruteraan Petroleum Tahap 5 kepada para pelajar yang berminat untuk belajar mengenai kejuruteraan petroleum dan meneruskan kerjaya pada masa depan dalam industri minyak dan gas.

 

Program ini bertujuan untuk mengembangkan keupayaan pelajar dalam menerapkan prinsip dan amalan pembelajaran di persekitaran kerja yang sebenar dengan selamat dan cekap. Terdapat sejumlah besar kerja praktikal dan projek yang penting untuk melahirkan calon yang mahir dan kompeten untuk pekerjaan pada masa depan di sektor industri minyak dan gas berkenaan.

 

PB juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak BSP atas sokongan pendidikan yang berterusan.



Close