Dua pemburu haram guna senjata api ditahan



​Siaran Akhbar dan Foto : Pasukan Polis Diraja Brunei

 




LABI, Khamis, 14 Mei. - Dua orang lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti pemburuan haram dengan menggunakan senjata api di kawasan perhutanan Mukim Liang ditahan di dua buah lokasi berasingan pada 6 Mei 2020 yang lalu.


 

Suspek pertama, seorang warga asing bernama Joenny Tati, berumur 36 tahun dan bekerja sebagai tukang kayu. Manakala, suspek kedua merupakan seorang penduduk tetap bernama Ricky Anak Kalong, berumur 34 tahun dan bekerja sebagai pemandu kilang papan.

 06.jpg

05.jpg


Kedua-dua suspek tersebut ditahan dalam satu rondaan dan pemeriksaan pencegahan jenayah oleh keanggotaan Balai Polis Labi, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) di kawasan kilang papan yang beroperasi di kawasan Mukim Bukit Sawat, berikutan satu aduan yang memaparkan beberapa keping gambar kelibat dua orang lelaki yang membawa senjata api terakam pada kamera perangkap yang dipasang di perhutanan kawasan Labi pada 14 April 2020 yang lalu.

 


Adapun kamera perangkap tersebut dipasang adalah untuk merakam gambar haiwan bagi tujuan kajian pihak Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan perkara ini sudah pun mendapat permit dari Jabatan Perhutanan.

 


Menurut daripada keterangan yang diperoleh daripada kedua-dua suspek, mereka mengakui mempunyai senjata api buatan sendiri dan menggunakannya bagi tujuan memburu haiwan.


 

Dalam kejadian tersebut, suspek pertama kemudiannya menunjukkan tempat penyimpanan senjata api miliknya yang disembunyikan di dalam hutan belakang rumah pekerja kilang dan pihak Polis berjaya menemukan satu bekas guni yang dipercayai mengandungi senjata api dan peralatannya.

 


Dalam pada itu, suspek kedua menyatakan, dia membakar senjata api buatannya di tempat bekas pemanggang makanan di kawasan belakang rumah pekerja kilang. Walau bagaimanapun, pihak Polis berhasil menemukan lagi senjata yang disembunyikan di kawasan belakang rumah pekerja berkenaan.

 


Kesemua senjata api dan beberapa butir peluru buatan sendiri serta peralatannya dirampas untuk dijadikan bahan bukti.

 


Kedua-dua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret, Bandar Seri Begawan bagi dibacakan kesalahan Memiliki Senjata Api Tanpa Lesen di bawah Seksyen 17(1) Akta Senjata Api dan Bahan Letupan Penggal 58.

 


Setelah perbicaraan kes dijalankan, pihak Mahkamah memerintahkan kedua-dua suspek dilepaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak BND10,000 berserta dua orang penjamin tempatan. Namun, memandangkan mereka tidak ada penjamin, maka kedua-dua tertuduh dibawa ke Penjara Maraburong bagi menantikan susulan sebutan kes yang selanjutnya.


 

PPDB ingin menegaskan kepada orang ramai bahawa adalah menjadi satu kesalahan yang berat di bawah undang-undang Negara Brunei Darussalam bagi mana-mana individu memiliki, menyimpan atau mengawal apa-apa senjata api atau peluru (termasuk kelongsong atau mana-mana bahagian daripadanya) dan sesiapa yang bersubahat dengan individu yang memiliki senjata api, mahupun peluru secara haram juga akan dikenakan hukuman yang sama.


Close